fbpx

Perut yang berkeroncong setia menemani, sambil menempuh kesesakan lalu lintas di Medan Gopeng menuju ke Kafe De Bois. Kelihatan sebuah rumah teres dengan papan tanda ‘De Bois’ berwarna kuning terang lengkap dengan kawasan parkirnya yang luas. Dengan menggunakan slogan “It’s more than just a cafe, it’s home”, ternyata membuatkan anda seolah-olah berada seperti di rumah. Slogan yang begitu menenangkan, bukan? Malangnya, sebaik sahaja saya menolak pintu masuk, saya disapa dengan muka masam rakan…..yang telah hampir 30 minit sampai di sini. Ini membuktikan saya anak Malaysia yang sejati! Yang tidak pernah lekang dengan alasan (on-the-way).

The Boss? Apa De Boys? Ia Kayulah!

Dengan yakinnya saya boleh katakan bahawa sebutan “De Bois” mengelirukan semua orang. Bukan sahaja ianya menimbulkan kekecohan di antara kami, “The Boss lah, eh…The Boys…”, yang pastinya perdebatan ini menambahkan lagi rasa lapar. Untuk menenangkan suasana, kami bertanyakan sendiri kepada staf disitu tentang sebutan sebenar “De bois”.

Menurut krew kafe disitu, nama tersebut berasal daripada perkataan Perancis “bois” yang bermaksud kayu. Yay! Selepas beberapa kali berlatih, kami akhirnya tahu cara penyebutan yang betul – “di bwa“. Mari kita sama-sama menyebut nama kafe ini seperti seorang yang mahir berbahasa Perancis. Ternyata dari awal lagi kami dah salah.

Misteri telah pun diselesaikan, kini kita tahu De Bois bermaksud Kayu…..(patut lah kafe ini dipenuhi dengan kayu sebagai dekorasi). Sesuai dengan nama, mereka menekankan konsep penggunaan kayu di dalam kafe. Bahagian kafe yang begitu menarik minat saya ialah dinding dengan potongan bokah kayu kecil dengan tanda De Bois berwarna kuning di tengahnya. Saya sangat teruja apabila meja tempahan kami ditempatkan di sini. Dalam mengekalkan konsep kayu, hiasan dalaman kafe ini turut dihiasi dengan meja dan kerusi kayu. Nampaknya mereka turut menyediakan ruangan makan di luar yang besar untuk anda. Makan secara indoor atau outdoor? Pilihan di tangan anda.

Serba Sedikit Mengenai De Bois

Bermula dengan sebuah rumah teres domestik yang dibeli oleh pemilik kafe, ia seterusnya diubah suai menjadi sebuah kafe pada tahun 2017. Ini menunjukkan bahawa mereka telah beroperasi selama 2 tahun…Masalahnya di sini, mengapa sebelum ini saya tidak pernah sedar akan kewujudannya? Kafe ini diuruskan oleh seorang ayah bersama anak lelakinya dan juga krew yang terdiri daripada saudara-mara terdekat.

Servis di De Bois boleh dikatakan berkualiti di mana kebanyakkan krew mereka mempunyai budi pekerti yang baik. Yang pertama, menu telah tersedia di atas meja sebaik sahaja kami sampai. Kedua, krew mereka sangat ramah dan tidak pernah lekang dengan senyuman sambil menunggu ketibaan kami. Setelah ditempatkan di meja yang telah disediakan untuk kami, kami diberikan sekeping kertas pesanan bersama alat pengesan pesanan tanpa wayar. Ini menandingi proses mengambil pesanan ketika kami di Miker Pizza. Kami beri extra mark untuk pengurusan pesanan De Bois yang begitu effisien. Teruskan kerja keras anda!

Mari kita pergi kepada menu. Yang menariknya, anak lelaki kepada pemilik kafe ini menginspirasikan citarasa Barat di dalam menu De Bois melalui pengalamannya belajar di Amerika. Dia menyuntik rasa tersebut dengan elemen Asia, memberikan sedikit kelainan kepada De Bois setelah pulang ke tanah air. Mereka tidak lupa akan asal usul; kerana mereka juga turut mempunyai menu seperti Nasi Lemak, Mee Goreng dan sebagainya. Walau bagaimanapun, kami di dalam mood ‘Mat Saleh Celup’, jadi kami ingin mencuba hidangan masakan barat (kacang lupakan kulit ya!).

Herculean Garlic Bread bersama Diluted Mushroom Soup

Jom ke ulasan, semangkuk sup cendawan dan dua keping roti bawang putih pasti akan mengujakan anda. Seperti mana ia mengujakan saya sebaik sahaja mencuba sekeping roti tersebut…..malangnya selain daripada rasa rangup, saya rasa seolah saya kehilangan gigi hadapan. Boleh anda bayangkan kesusahan tersebut? Hanya mereka yang mempunyai gigi yang kuat dapat mengunyah roti ini. Rotinya juga kurang rasa mentega dan bawah putih. Kami tidak terlalu menikmati hidangan ini.

Masa untuk menikmati sup cendawan. Sup ini berkrim dan terdapat beberapa kepingan kecil cendawan didalamnya, namun sedikit cair. Anda boleh mencelup roti bawah putih yang keras tadi ke dalam sup bagi melembutkan tekstur roti tersebut. Rakan kami yang cerewet, menyarankan agar sup ini dimakan ketika panas untuk mengekalkan kesedapan sup tersebut (hanya dia seorang sahaja yang menikmati hidangan ini).

Seven glass of De Bois beverages in one line on the table with De Bois wooden bricks wall as background

Emmmm! Duck-nyewww!

Oh my duck! Hidangan ini sangat lazat sehingga kami tidak henti-henti memujinya. Bukan sahaja tekstur daging itiknya yang lembut, malah ianya senang untuk dijamah. Kepingan itik salai diletakkan di atas kentang putar, bersama kentang goreng dan salad ialah kombinasi yang begitu mantap (patut lah ianya merupakan menu best seller di sini).

Selain daripada itik salai, salad juga boleh tahan rasa enaknya. Oleh kerana rakan kami langsung tidak menyentuh sayur tersebut, saya tidak dapat menahan diri untuk tidak mencubanya kerana sayur tersebut segar dan rangup dihidang bersama sos yang sedap (jangan membazir!). Sebaliknya, kentang putar tersebut berasa tawar, tapi tidak perlu risau kerana sos lada hitam datang membantu! (Jangan lupa untuk menuangkan sos okay?). Kami cukup bertuah kerana berada di De Bois hari ini. Paling penting, hidangan ini merupakan pilihan ramai, kini kami semua telah disalaikan oleh itik salai!

A square white plate with smoked duck, wedges, salad, mashed potato and black paper sauce on the table

Pasta La Vista bebeh

Pasta ini dimasak menggunakan minyak zaitun, bersama potongan halus daun parsli dan sedikit cili kering (tak perlu risau, ianya tidak pedas). Pasta dimasak dengan ‘al-dante’ dan sangat utuh untuk digigit (ini merupakan kondisi pasta yang saya suka, berikan tepukan kepada De Bois!). Itik salai turut dihidangkan di dalam hidangan ini. Menjamah kepingan itik salai bersama helaian pasta pasti memberikan rasa yang luar biasa di bibir anda (sebab itu lah rakan kami habiskan hidangan ini hingga mengalir minyak di dagunya).

Untuk membandingkan rasa pasta, kami mencuba menu pasta yang lain iaitu Milk Kari Pasta. Ia dihidangkan dengan sos berwarna oren dan ayam goreng pedas. Ia merupakan sesuatu yang baru berbanding hidangan Pasta Bolognese atau Carbonara yang lain. Hidangan ini dimasak dengan menggunakan mentega dan rempah kari bersama taburan cili kering, menjadikannya kaya dengan rasa lemak dan berkrim, tetapi tidak sepekat sos carbonara yang lain. Sebagai tambahan, rakan kami menyatakan ia mempunyai rasa buttermilk yang tersendiri. Akan tetapi, hidangan ini kekurangan aroma kari, jadi kami tidak dapat menikmati sengatan kari tersebut. Walau bagaimanapun, ayam goreng pedas keemasan yang dihidangkan di atas pasta sangat mengujakan…

Commander – In – Chief

Hidangan seterusnya sesuai untuk penggemar burger di luar sana. Anda boleh mencuba Commander Burger. Saiz hidangan ini pasti akan membuatkan anda kekenyangan. Burger ini diisi dengan ayam goreng pedas, sayur segar seperti tomato, kubis, jeruk timun, keju mozarella dan sos perang di dalam roti. Anda boleh nikmati rasa rempah daripada tepung perapan ayam. Ia mempunyai rasa ayam yang sama seperti di dalam Butter and Milk Kari Pasta. Rakan kami turut menambah bahawa ayam tersebut sedikit masin apabila dimakan berasingan.

Commander Burger
(RM 15.90)

Macam Bukan Gaya Hasselback je.

Apabila kebanyakan orang tidak begitu menggemari dada ayam, peminat dada ayam kami tidak dapat menolak untuk mencuba Hasselback Chicken. Ia merupakan ayam panggang bersama bayam rebus, keju krim, sayur campur yang dipotong tebal, kentang goreng dan dihiasi dengan sos putih. Kebiasaannya, Hasselback merupakan hidangan yang dimasak secara potongan, kemudian disumbat dengan isi tertentu dan kemudiannya dibakar. Namun tidak bagi Hasselback di Kafe De Bois apabila saya dapati tiada sebarangan potongan atau isi disumbat kedalam dada ayam tersebut.

Disebabkan ketebalan dada ayam, ia kurang masak dengan tekstur yang keras dan susah untuk dipotong dan dimakan. Rakan kami menyatakan ayam ini mempunyai rasa kayu. Berkemungkinan kerana cara perapannya atau ianya dibakar dalam jangka masa yang lama (ini merupakan pendapat peribadinya, mungkin ianya salah). Sos putih tidak terlalu pekat dan sedap dimakan bersama ayam tersebut. Tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang hidangan ini.

Hasselback Chicken
(RM17.90)

Ya Tuhan Grill Platter Saya!

Pasangan bercinta kami menginginkan makan malam candlelight dengan hidangan yang boleh dikongsi bersama. Oleh sebab itu, mereka memilih untuk mencuba Oh My Grill! Platter – hidangan besar yang terdiri daripada Kambing Bakar, Chicken Chop, Kepingan Daging, Kentang Goreng, Coleslaw dan Nasi Mentega. Walaupun mereka begitu menikmati makan malam tersebut, sifat cerewet telah membuatkan mereka untuk terus mengadili hidangan seperti mereka seorang pakar (sebenarnya mereka tidak lah pakar mana pun).

Kambing Bakar agak liat, tetapi pasangan duo ini berpuas hati dengan cara masakan daging tersebut kerana menepati citarasa mereka (mereka memuji hanya De Bois yang mampu menyediakan Kambing Bakar seperti mana mereka ingini, tidak seperti di Kafe Thumbs). “Jika ianya lebih pedas, pasti akan lebih sedap”, itu merupakan kenyataan pencinta makanan pedas yang mengharapkan rasa Chicken Chop yang lebih pedas. Nasi Mentega dimasak dengan baik dengan kenyalan dan rasa mentega yang cukup sempurna. Sebagai penambahan rasa, sos lada hitam turut dihidangkan bersama. Sos ini tidak terlalu pekat dan kurang rasa hangat lada hitam (jadi anda tidak perlu risau jika sakit perut).

Oh My Grill! Platter
(RM39.90)

Tidak Terlalu Berkeju

Kami sangat teruja untuk mencuba De Bois Cheezy Corndog kerana tiada seorang pun daripada kami yang pernah mencubanya. Oleh itu, kami meletakkan harapan yang tinggi untuk hidangan ini seperti mana kami hajati (rangup dan berkeju…). Walau bagaimanapun, ia mengecewakan kami. Tepung yang menyaluti roti corndog terlalu keras, ia membuatkan anda untuk tidak meneruskan gigitan. Ia juga tidak berkeju langsung. Sosej yang digunakan mempunyai rasa yang tidak menyenangkan (rakan kami berpendapat bahawa mereka menggunakan sosej murah). Secara jujurnya, hidangan ini yang paling “kureng” di antara yang lain…anda boleh tolak tepi menu ini.

Cheezy Corndog with Fries
(RM9.90)

Mungkin Brownies Pengubat Kecewa?

Cukup kecewa dengan Corndog, kami inginkan sesuatu yang manis untuk mengubat kekecewaan. Dengan itu kami mencuba Caramel Brownies. Hidangan ini diliputi dengan taburan sos karamel bersama brownies berperisa coklat dan ais krim vanila di atasnya. Alangkah malangnya kerana brownies ini juga mengecewakan kami. Tidak dinafikan brownie tersebut kaya dengan rasa coklat, namun kami kecewa dengan teksturnya yang tidak lembab, kurang mampat dan begitu rapuh. Yang peliknya, walaupun mereka ‘complaint’ tentang rasa brownie ini, tetapi ianya habis dimakan dengan sekelip mata.

Caramel Brownies
(RM8.90)

Ku Sanggkakan Bulan, Tetapi Kerak Bumi

Melihat kepada menu, terdapat satu menu yang menarik minat kami dengan nama yang menarik iaitu Fry Me To The Moon. Kami semua terus tertanya tentang hidangan apa yang bakal tiba di atas meja. Walau bagaimanapun, setibanya hidangan ini ia telah menghancurkan imaginasi kami di mana ianya hanya sepinggan kentang goreng bersama sos bolognese yang tawar dengan taburan sos mustard. Kekecewaan demi kekecewaan menghantui kami. Tiada apa lagi yang boleh diperkatakan, kami sememangnya telah tertipu dengan namanya (ini lah yang dipanggil indah khabar daripada rupa).

Fry Me To The Moon
(RM7.90)

Rejoice The Juices of De Bois

Betapa kecoh setibanya minuman kami, tetapi air untuk pasangan bercinta kami iaitu Lemon-Need and Jus Oren tidak dihidangkan bersama. Jadi, semua orang menyalahkan sang penulis menu yang lupa untuk menyelit air mereka di dalam pesana di awal tadi (atau mungkin staf di situ tidak faham tulisannya? Mungkin). Disebabkan itu, kami terpaksa menunggu beberapa minit lagi untuk air tersebut sampai (selagi semua air tak sampai, selagi itu takde siapa yang boleh minum! Yela, kan kene ambik dulu).

Ok, izikan saya mula dengan jus buah-buahan dahulu – Lemon-need, Kiwi-Licious, Green Apple Campagna dan Tropical Passionfruit. Keempat-empat minuman ini adalah air sparkling bersama kordial lemonade, kiwi, apple hijau dan Buah Markisa di bawahnya. Sekadar pesanan, pastikan anda mengacau air ini sebaiknya.

Sekarang kita beralih ke jus buah iaitu Jus Oren dan Tembikai Susu. Kedua-dua jus ini dibancuh “on the spot” kerana kami dapat merasakan kesegarannya. Percayalah kami cakap, jus Tembikai Susunya memang terbaik! Tetapi, jika kita berbalik kepada jus Oren, rakan kami mengatakan bahawa jus Oren itu tak setanding dengan jus oren di kedai mamak. Akhir sekali, Lemon Madu mereka juga baik dan sangat menyegarkan.

From left: Orange Juice (RM4.90), Honey Lemon (RM4.00), Ice Lemon Need (RM5.90), Tropical Passion Fruit (RM5.90), Kiwi-Licious (RM5.90), Green Apple Campagna (RM5.90), Honeydew (RM4.90)

Kita Dah Sampai Ke Pengakhiran!

Kesimpulannya, hidangan disini sedikit mengecewakan, tetapi kami tetap bersyukur smoked duck yang dihidangankan memenangi hati kami kembali. Jumlah keseluruhan untuk ke tujuh orang kami adalah RM204.90. Walaupun agak mahal, tapi kami merasakan ia bersesuaian dengan menu yang dihidangkan. Penilaian? 6/10 disebabkan beberapa hidangan yang sedikit mengecewakan.

Alamat
203, Jalan Raja Dr. Nazrin Shah, 31350 Ipoh, Perak
No. Telefon
05-311 1307
Waktu Operasi
12.00 PM – 12:00 AM (Isnin hingga Sabtu)
Ahad (Tutup)

NOTA : Kami tidak makan secara percuma, ataupun kami dibayar(ditaja) untuk food review ini. Semua kos makanan ditanggung oleh kami sendiri dan bukan daripada mana-mana tajaan. Food review ini adalah ringkasan umum dari maklum balas yang diberikan daripada semua ahli keluarga M Boutique yang mengambil bahagian.

Rookie writer who stares into the space thinking about how bedazzled her life with boba and star wars...
Close

Language