fbpx

Baru sahaja saya ingin menetapkan tarikh untuk ulasan makan di Little Ipoh Cafe, peminat Sony membuat keputusan drastik untuk meneruskannya pada hari ini. Sepantas kilat saya terus menghubungi Papa di WhatsApp dan dia membenarkan kami untuk pergi. Sudah begitu lama geng M Makan Kaki tidak mejejakkan kaki ke kafe atau restoran di Ipoh. Disebabkan pandemik ini, kita perlu mempertimbangkan semua keperluan searas dengan norma baharu.

Mari Pergi ke Little Ipoh Cafe

Tanpa membuang masa, saya dan rakan perempuan meninggalkan pejabat pada pukul 12:20 pm, meninggalkan geng lelaki. Sila ambil perhatian, parking menjadi suatu permasalahan kerana kafe ini terletak berdekatan dengan Jalan Concubine. Dalam 10 minit memandu daripada M Roof Hotel & Residences, kami akhirnya sampai di Kafe Little Ipoh. Walaupun masih baru beroperasi, ia sudah mendapat sambutan khayalak yang ramai, lebih-lebih lagi pada waktu makan tengahari. Selamat lah
kami sampai sana awal sebelum adanya barisan yang panjang. Tingkat bawah kafe dipenuhi dengan pelanggan yang sibuk makan, bersembang dan mengambil gambar untuk intagram.

Sambil kami masih mencari tempat duduk, krew mereka yang cantik mencadangkan kami untuk naik ke tingkat atas. Kami memilih tempat duduk di bahagian hujung cafe yang dihiasi dengan kalung bunga malai yang memukau mata. Oleh sebab kami suka buat bising dan mendatangkan masalah, ini merupakan tempat terbaik untuk kami.

Kafe Baharu

Kafe ini terletak di Jalan Sultan Yussuf, di bangunan lama bersebelahan Ipoh Kong Heng. Bangunan kafe ini dahulunya merupakan kedai tukang jahit ,U.S Peter (anda boleh lihat nama kedai ini daripada papan tanda lama yang masih ada). Tambahan lagi, bangunan ini turut menjadi lokasi kafe hipster perintis di Ipoh iaitu Burps and Giggles. Namun begitu, nampaknya kini mereka tidak lagi beroperasi dan diambil alih oleh Little Ipoh Cafe.

Bersembang santai bersama Cik Ika yang lemah lembut, memberikan pemahaman yang lebih baik mengenai kafe. Asal usul Little Ipoh Cafe bermula dengan vendor kecil di dalam Petronas, Bandar Universiti Seri Iskandar. Rasa nostalgik kopi dan mee kari masih kekal di dalam memori salah seorang rakan kami yang pernah ke sana sewaktu belajar di Uitm Seri Iskandar. Selepas beberapa tahun beroperasi, mereka berpindah ke lot kedai Bandar Universiti Lakeville, tidak begitu jauh daripada Petronas. Nasib menyebelahi mereka apabila angan-angan untuk melebarkan sayap di Ipoh akhirnya menjadi nyata.

Disebalik Nama Little Ipoh Cafe

Secara amnya, Little Ipoh menggabungkan kebudayaan etnik Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Dengan itu, Little Ipoh Cafe mengalu-alukan kedatangan orang Ipoh yang menggemari dekorasi antik dan suasana santai seperti berada di rumah. Cik Ika menyatakan ia mengambil masa selama 2 bulan untuk mereka bentuk semula hiasan dalaman kafe. Pengubahsuaian kafe mengambil kira dari aspek perabot dan dekorasi yang kebanyakkannya dibuat sendiri oleh mereka. Sehubungan dengan itu, mural burung Kolibri (burung madu) yang besar di dinding kafe menarik minat kami, ia dilukis sendiri oleh adik Cik Ika yang merupakan graduan seni halus.

Sebagai pereka dalaman kafe, Cik Ika mereka semula elemen kebudayaan rakyat Malaysia, merangkumi kepada tiga kumpulan etnik iaitu Melayu, Cina dan India. Tingkap kayu di tingkat atas kafe dihiasi dengan kain batik yang melambangkan kesenian orang melayu. Elemen kebudayaan cina pula diterjemahkan melalui dekorasi old school – kerusi malas bersama kain Good Morning (G.M.T) menimbau kembali kepada susasana di kopitiam. Tambahan pula, kalungan bunga yang menghiasi dinding melambangkan kebudayaan India. Anda juga boleh lihat terdapat tulisan pelbagai bahasa yang memberi makna “jom makan” di dinding kafe.

Little Ipoh Cafe mengamalkan servis kendiri dengan kepelbagaian pilihan makanan yang menjadi kegemaran masyarakat Malaysia. Sebaik sahaja melihat pilihan menu, kami terus tertarik kepada menu Nasi Ayam, Mee Kari dan Roti Bakar Telur Goyang. Rakan kami yang cerewet ingin mencuba Nasi Tomato, tetapi nasib tidak menyebelahinya apabila nasi tomato tidak dihidangkan untuk hari ini. Lantaran itu, dia memesan hidangan cadangan yang dipanggil Nasi Kari Ayam Sia’. Selain itu, kami turut menambah Soto, Mee Rebus, Nasi Lemak Ipoh dan Roti Titab.

Kaunter Pesanan
Kaunter “Pick-Up”

Soto Yang Enak Walaupun Berminyak

Tanpa sebarang bantahan, Soto merupakan hidangan yang menarik. Semangkuk soto dipenuhi dengan nasi impit, ayam carik, taugeh, soo hoon goreng dan kacang yang ditemani sup panas. Hirupan sup begitu menyelerakan dengan penuh rasa yang penuh aromatik. Walau bagaimanapun, kami terpaksa memotong beberapa point kerana lapisan minyak yang tebal di permukaan sup.

Soto (RM6.00)

Hidangan Signature Little Ipoh Cafe

Menggunakan dulang buluh sebagai pinggan hidangan mencuri perhatian kami. Berlainan daripada menggunakan pinggan porcelain, mereka menunjukkan kreativiti dalam persembahan hidangan. Untuk lebih lanjut lagi, mari kita pergi kepada ulasan makanan ‘signature’ mereka. Pertama, Nasi Ayam mempunyai rasa aromatik rempah ratus yang kuat. Sos hitam istimewa (resepi rahsia), memberikan satu rasa lain daripada yang lain. Kedua, peminat Sony terus memuji kesedapan Mee Kari tanpa henti.
Walau bagaimanapun, saya dan rakan yang lain mendapati ianya agak masin dan masam. Saya tidak faham bagaimana deria rasanya befungsi…..namun, tidak ada apa yang tepat jika ia berkaitan dengan rasa. Akhir sekali, tiada yang dapat mengatasi rasa klasik Roti Bakar Telur Goyang di mana rakan kami menghabiskan hidangan ini dengan sekelip mata.

Nasi Ayam (RM7.00)
Mee Kari (RM6.00)
Roti Bakar Telur Goyang (RM 6.50)

Nasi Kari Ayam Sia’!

Masa untuk kita menikmati Nasi Kari Ayam Sia’. Salah satu sebab rakan kami memesan hidangan ini kerana perkataan ‘sia’ yang menarik perhatiannya (dia bependapat ia merupakan ayat slang “apa sia?”). Akan tetapi, sia’ ini sebenarnya ialah mangkuk tingkat. Seperti mana Cik Ika kata “Orang dulu-dulu panggil mangkuk tingkat ni sia’“. Mereka menggunakan nama klasik di dalam menu agar ianya tidak dilupakan oleh generasi muda. Saat tiba di meja, kami terpukau! Mangkuk tingkat mini ini diisi dengan kari ayam, telur masin, sambal belacan, dan keropok udang. Cedokkan kari ke nasi dan anda dapat merasai rasa lemak dan pedas rempah kari.

Nasi Kari Ayam Sia’ (RM8.00)

Mohon Lebihkan Kaya

Inginkan makan tengahari yang ringan, Roti Titab tiba di meja. Roti bakar yang dihidangkan dengan telur separuh masak di tengah roti bersama kaya di setiap hujung roti. Rakan kami mengadu mengenai kaya yang sedikit (dia mahukan kaya yang lebih banyak!). Sewaktu kami ingin menyerahkan hidangan ini kepadanya, kuning telur pecah dan mengalir di sekeliling pinggan. Dengan itu, bebelan diteruskan dan kami terpaksa menahan telinga. Hidangan yang ringkas ini sudah mampu membuatkan anda rasa gembira dengan kombinasi rasa kaya yang tidak begitu manis dan telur setengah masak (tapi mungkin lebihkan kaya, please!).

Ada Yang Tak Kena Dengan Rasa Ni…..

Mee Rebus agak mengecewakan dan tidak seperti yang kami harap kan. Apa lah Mee Rebus tanpa cucur bukan? Cucur yang dihidangkan bersama begitu rapuh dan tiada rasa yang istimewa. Selain daripada itu, kuahnya yang diperbuat daripada ubi keledek sangat pekat dan tawar. Kami tidak mencadangkan anda untuk mencuba hidangan ini. Teringin untuk mencuba Nasi Kerabu, tetapi ianya tidak available. Jadi, dia memesan Nasi Lemak. Rasa seperti nasi lemak biasa ia didatangkan bersama sambal yang kurang pedas, ikan bilis goreng, timun dan telur rebus.

Roti Titab (RM6.50)

Mee Rebus (RM7.00)

Nasi Lemak Ipoh (2.00)

Minum Di Dalam Kole

Seperti mengimbau kenangan masa dahulu apabila mereka menyajikan minuman di dalam kole. Bila ditanya di mana mereka mendapatkan barangan lama seperti ini, Cik Ika hanya tersenyum dan shhh biarlah rahsia. Semangkuk Lengkong Kuning bersama kemanisan jeli kuning, air gula dan jus limau sangat berbaloi untuk dicuba. Disebabkan kami berada di kafe yang membawa nostalgik suasana Malaysia, ABC wajib untuk diperkena! Semangkuk ais kisar dihidangkan dengan sirap manis, susu sejat, jeli hijau, kacang merah dan jagung melegakan tekak di kala panas tengahari.

Kami memesan tiga minunan dari menu signature — Iced Cappuccino, Iced White Coffee, dan Iced Teh Tarik. Minuman kopi di sini tidak dibuat secara homemade tetapi mereka menggunakan kopi mesin. Oh, lagi satu mereka turut menyertakan air gula asing jika anda inginkan rasa yang lebih manis. Teh Tarik tidak cukup Umphhh sangat! Tak kaw langsung. Hal ini membuatkan saya tertanya kenapa ia termasuk dalam menu signature?

Lengkong Kuning (RM4.50), Iced Cappucino (RM5.00), White Coffee (RM3.50), ABC (RM4.90), Teh Tarik Ais (RM4.00), Lemonade (RM3.00), Milo Ais Tabur (RM5.00)


Air Lemon menyegarkan tekak tetapi rakan kami tidak dapat menahan rasa masam yang terlampau. Mana taknya, seteguk air lemon meletuskan rasa masam di dalam mulut. Saya sendiri pun tak dapat tahan! Yang terakhir, Iced Milo Tabur kaya dengan rasa coklat dan serbuk mila yang ditabur diatasnya memang buat rasa ketagih.

Kafe Baharu Yang Menawan

Untuk menghabiskan ulasan makanan, kami membelanja sebanyak RM78.90 sahaja! Saya berikan mereka rating 6/10. Kami begitu kagum dengan dekorasi old-fashion, akan tetapi makanan di sini biasa-biasa sahaja (hanya pendapat kami). Lagipun, mereka masih baru di pasaran Ipoh (baru sahaja beroperasi selama 2 minggu sewaktu kami ke sana…..) pastinya ada banyak yang boleh diperbaiki. Kami percaya hidangan yang lazat pasti akan mengekalkan pelanggan dalam masa yang panjang, justeru kami
mengharapkan lebih ramai lagi akan datang ke sini. Dengan mengetengahkan kebudayaan Malaysia, Little Ipoh Cafe (cawangan Ipoh) boleh menjadi tempat makan baharu untuk mereka yang ingin ke Ipoh!

Alamat
93-95, Jalan Sultan Yusof, 30000 Ipoh, Perak
No. Telefon
+605-2460852
Waktu Operasi
Rabu – Tutup
7:00 AM – 5:00 PM (Isnin hingga Ahad)

NOTA : Kami tidak makan secara percuma, ataupun kami dibayar(ditaja) untuk food review ini. Semua kos makanan ditanggung oleh kami sendiri dan bukan daripada mana-mana tajaan. Food review ini adalah ringkasan umum dari maklum balas yang diberikan daripada semua ahli keluarga M Boutique yang mengambil bahagian.

Rookie writer who stares into the space thinking about how bedazzled her life with boba and star wars...
Close

Language