fbpx

Bulan Ramadan adalah bulan yang di nanti-nanti kan bagi seluruh umat Islam di dunia. Sudah tentu ada yang tertanya-tanya tentang keistimewaan bulan ini. Secara lazimnya ia terkenal dengan ‘pesta’ ibadah dan juga merupakan pesta makanan bagi seluruh negara. Bersempena dengan bulan yang mulia ini, M Makan Kaki’s sebulat suara bersetuju untuk menjadikan Bazaar Ramadan Stadium Ipoh sebagai destinasi food review kami kali ini. Ha! Bukan senang tau nak buat review bulan puasa ni, banyak dugaannya! Lapar, dahaga dan mata pun nak kena jaga. Bazaar ini adalah bazaar ramadan yang terbesar di Ipoh. Ianya mempunyai lebih dari 70 gerai yang mana terletak di ruang parkir Stadium Indera Mulia. Cuba bayangkan, banyak kan? Kalau pergi, confirm rambang mata! (Psstt. Kami menghabiskan masa 1 jam dalam bazaar ni tau). Tapi kena ingat, bulan puasa ni lah yang melatih diri kita untuk mengawal nasfu, jadi jangan membazir okay? Kami difahamkan para peniaga mula meletakkan meja dan barang persiapan untuk berniaga seawal jam 4.00 petang manakala para pengunjung akan mula memenuhi perkarangan bazaar sekitar jam 5.00 petang. Bagaimana saya tahu? Sebab saya boleh lihat bazaar ini dari ‘rooftop’ M Roof Hotel & Residences ! (Bau ayam percik pun boleh sampai atas, no joke!). Bukan sahaja juadah berbuka yang beraneka pilihan, ia juga kerana lokasinya yang strategik menjadikan bazaar ini pilihan utama kepada warga kota. Yang menariknya anda juga boleh membayar zakat dihadapan perkarangan bazaar. Maka tak mustahil kenapa suasana disini selalu meriah setiap kali menjelang bulan puasa. Pasti ada yang khuatir tentang parkir kan? Jangan risau, banyak ruangan parkir yang disediakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh untuk para pengunjung (lebih mudah jika menggunakan motor atau berjalan kaki dari M Roof Hotel & Residences). Terdapat pelbagai makanan dan minuman yang dijual di sini, baik makanan tradisional mahupun moden. Tetapi kami tidak berkesempatan untuk mencuba kesemuanya. Kalau nak tahu betapa meriahnya suasana bazaar ini, anda boleh lihat video kami di atas atau klik disini.

Kuey Teow Goreng Kerang Arang

Alif Nozi Pure Juice

Murtabak Taiping Nasi Kandar Gany

Antara gerai yang menjadi tumpuan ramai adalah gerai Alif Nozi Pure Juice dimana menu utamanya ialah jus mangga. Kami mengambil kesempatan ini untuk mencuba jus mangga dan juga “Mango Float”. Tidak dinafikan, jus mangga yang dijual gerai ini sangat berbaloi untuk dicuba. Jusnya yang begitu pekat dan segar pasti dapat menghilangkan dahaga pada waktu berbuka. Umpama sebiji mangga dikisar terus dan dijadikan jus (cebisan-cebisan mangga masih terasa dalam minuman, seperti Nata De Coco). Yang pastinya ia bukan jus yang di bancuh menggunakan kordial. Jadi tak mustahil kenapa ramai yang sanggup beratur panjang semata-mata untuk sebungkus air di gerai ini, sehingga peniaga terpaksa meletakkan kon sebagai panduan untuk mereka beratur. Oh ya! Sebelum saya terlupa, mereka juga menjual air Lemon Asam Boi, Tembikai, Jus Jagung, Cincau, Teh Hijau dan banyak lagi. Yang menariknya, jus mangga ini juga boleh didapati di dalam botol yang telah disediakan.

Semestinya setiap orang menginginkan hidangan utama yang berbeza untuk berbuka puasa. Ada yang mahukan nasi goreng, ada yang mahukan ayam percik dan ada yang mahukan sup. Bagi salah seorang rakan kami, dia terliur dengan Kuey Teow Goreng Kerang Arang yang terletak bersebelahan dengan gerai jus mangga tadi. Patutlah semasa kami order air dia hilang. Tetapi apa yang kami ingin ketengahkan adalah rasanya yang memang lain daripada yang lain. Nak tahu apa yang lain? Kebiasaannya kuey teow di goreng atas dapur biasa (alahh, yang masak guna dapur gas tu), tetapi kali ini ianya di goreng menggunakan kayu arang. Jarang peniaga melayu yang menggunakan kayu arang, selalunya kita nampak peniaga Cina sahaja yang menggunakannya. Jadi anda akan dapat merasakan perbezaan pada kuey teow goreng tersebut. Yang bestnya, peniaga turut menyediakan 3 jenis penyedap rasa; cili jeruk, cili kicap dan sos cili buatan sendiri (homemade). Kami sarankan supaya anda cuba, tak rugi kerana peniaganya tak kedekut letakkan kerang dan kuey teow. Bak kata omputeh “big portion”. Ewah!

Jus Mangga (RM 5.00 sebotol)

Burger Boss (RM 6.00 satu)

Next! Kami singgah di gerai Burger Ayam Goreng Crispy. Tetapi di Perak mereka lebih dikenali sebagai “Burger Boss”. Untuk pengetahuan anda, burger boss ni ada di Perak je tau. Kalau anda dari negeri lain tu, jemputlah datang ke Silver State! Nama gerai mereka pun seakan-akan gelaran pasukan bolasepak Negeri Perak, The Boss Gaurus. Sangat memuaskan! Itulah ayat yang sesuai untuk menggambarkan tentang kelazatan burger ini. Kerangupan daging ayamnya saling tak tumpah seperti ayam Shihlin (Taiwan Streets Snacks) dan rasanya pula seperti ayam KFC Zinger Burger tetapi lebih pedas sedikit. Ha! Dapat bayang tak rasa dia? Dua dalam satu. Walaupun roti yang digunakan adalah roti biasa, tetapi ianya lembut. Sangat sangat berbaloi. Harganya pun tak mahal, cuma RM 6.00 .

Pada waktu yang sama, kami juga sempat singgah ke gerai Waja Kambing Bakar. Masih ingat tentang food review yang lepas? Rakan kami yang merupakan peminat tegar daging kambing? Melihat dari ekspresi wajah semasa dia mencuba Skewer BBQ Lamb dan Meatball, kami dapat katakan bahawa dia sangat berpuas hati. Daging Skewer tersebut mudah dimakan, tidak terlalu kenyal dan yang paling penting ianya tidak berbau. Percayalah kalau anda beli secucuk, takkan cukup! Pada pandangan kami, tiada apa yang istimewa pada bebola daging tersebut. Tetapi tekstur bebola daging kali ini lebih kenyal dan tidak mudah pecah. Dengan membelanjakan RM10 anda akan dapat 10 biji bebola daging yang dihidangkan bersama kentang putar (mashed potato) dan sos BBQ.

Kepada penggemar masakan dari negara matahari terbit, kami sarankan supaya anda mencuba Meru Takoyaki. Ingat tau nama kedai ni, bila-bila anda datang ke bazaar ini nanti boleh cuba. Harganya sangat berpatutan. Peniaga menyajikan 3 jenis takoyaki iaitu Takoyaki Sotong, Udang dan Ayam. Seperti yang kita tahu takoyaki berasal dari perkataan Jepun; Tako = Sotong dan Yaki = Kuih, jika kita lihat pada nama sudah tentu kita dapat agak bahawa perisa yang asal ialah Takoyaki Sotong. Tetapi malangnya, sewaktu kami sampai di gerai tersebut, hanya Takoyaki Udang dan ayam sahaja yang tinggal. Ramai sebenarnya penggemar Takoyaki di Ipoh ni. Pada pendapat saya, saya lebih menggemari Takoyaki Udang berbanding perisa ayam. Walau bagaimanapun, apa yang kami mahu ketengahkan adalah kelembutan bebola takoyaki tersebut. Kelazatan takoyaki ini sebenarnya terletak pada sosnya. Kami sempat berbual dengan peniaga yang menyatakan bahawa sos yang mereka gunakan adalah sos buatan sendiri yang diolah untuk mendapatkan aroma dan citarasa masyarakat di Malaysia. Sehingga kini, saya masih tidak dapat melupakan kombinasi Bonito Flakes dan sos takoyaki tersebut.

Skewer BBQ Lamb (RM6.00 secucuk)

Takoyaki Sotong, Udang & Ayam (RM 5.00 sekotak)

Kepada sesiapa yang mengidam ayam golek, anda boleh menyinggah ke gerai Lan Ayam Golek Madu. Ayamnya dipanggang sehingga betul betul masak (bukan ‘half-cooked’), rempah-ratus yang digunakan sangat bersesuaian dan kemanisan madunya amat terasa. Kepada penggemar ayam golek, ini adalah juadah wajib cuba! Kemudian kami teruskan pencarian dengan Murtabak Taiping Restoran Nasi Kandar Gany. Ianya mengambil masa selama 20 minit untuk beratur dengan harapan murtabak itu mempunyai keajaibannya tersendiri. Tetapi apakan daya, jika kita tidak mencuba kita tidak akan tahu. Murtabak Taiping ini isinya dipenuhi dengan bawang jika dibandingkan dengan isi daging atau ayam. Umpama kami memakan bawang yang disaluti roti canai semata-mata. Kemungkinan atas faktor terlalu banyak pesanan yang membuatkan cara penyediaannya terkejar-kejar dan terlepas pandang beberapa perkara,

Sekarang kita beralih pula ke pencuci mulut. Sebelum pulang ke hotel untuk berbuka, kami sempat membeli beberapa kuih-muih. Antaranya adalah donut, buah melaka, kuih akok dan cendawan goreng. Donut adalah salah satu kegemaran rakan kami yang mana dia menyatakan ia adalah juadah wajib untuk dibeli setiap kali dia ke bazaar ini. Hal ini kerana, dohnya yang sangat lembut dan mempunyai pelbagai perisa seperti coklat, pandan, durian dan red velvet (kami panggil donut hipster). Buah melaka juga mendapat perhatian kami, kerana ia dibuat on-the-spot. Kepada yang musykil bagaimana buah melaka ini dibuat, anda boleh melawat gerai Station Utara ini. Buah melaka tersebut masih lagi segar sewaktu kami berbuka dan gula melaka yang digunakan sebagai inti masih lagi panas dan sedap. Yang paling penting, harganya yang sangat berpatutan dan dengan hanya membelanjakan RM 2.00 , anda akan dapat 10 biji buah melaka. Cukuplah untuk semua ahli keluarga merasa, betul kan?

Manakala jika anda adalah penggemar Kuih Akok, saya sarankan agar anda singgah ke gerai Zalrin Dapur Warisan. Kuih akoknya yang laku keras menjadi salah satu faktor untuk kami mencuba kuih tradisi yang berasal dari Pantai Timur ini. Kepada yang masih belum pernah mencuba, disini kami akan kongsikan sedikit sebanyak tentang kuih akok. Kuih akok rasanya manis bertelur, dan rahsia resipi kuih ini adalah berkait rapat dengan cara pembuatannya. Jika sedikit telur ayam yang digunakan maka kuihnya akan menjadi tawar dan tidak sedap. Rasanya begitu sedap, tetapi ia tidak menepati citarasa salah seorang rakan kami. Menurutnya, kuih akok selalunya dimasak sepenuhnya, tetapi digerai ini ianya separuh masak. Walau bagaimanapun, ia berbalik kembali kepada citarasa seseorang itu.

Ayam Golek Madu (RM13.00 separuh ekor)

Buah Melaka (RM 2.00 / 10 biji)

Kuih Akok (RM 0.70 seketul)

Murtabak Taiping (RM 3.50 sekeping)

Akhirnya, kita sudah sampai ke penghujungnya, sebelum saya menamatkan food review ini, saya ingin berkongsi tentang juadah yang menjadi pilihan kami kali ini (sebenarnya saya seorang saja yang pilih). Kami memperkenalkan Teh Tarik Leleh! Antara aspek yang menjadikan air ini adalah pilihan saya, rasa tehnya yang begitu pekat dan tidak terlalu manis. Rasa teh dan manis itu sama-sama naik. Harganya yang berpatutan dan kerana buihnya yang meleleh-leleh menjadikan perjalanan setiap penggemar teh terhenti di gerai mereka. Kepada sesiapa yang ingin mencuba, anda boleh ke gerai Teh Tarik Ais Leleh Viral. Rugi tak cuba!

Keseluruhannya kami membelanjakan sebanyak RM 104.00 sahaja untuk 6 orang. Berbaloi dan murah kan? Jadi, setiap kali menjelang bulan Ramadan bolehlah anda membeli juadah berbuka di Bazaar Ramadan Stadium Ipoh untuk santapan seisi keluarga. Apa yang penting?  Murah dan kesedapan rasanya. Untuk rating bazaar ini, kami beri 5/10 berdasarkan makanan yang beraneka pilihan dan harga yang perpatutan. Tetapi, rating-nya mungkin lebih tinggi jika kami sempat untuk mencuba kesemua makanan dan minuman di bazaar ini. Moga bertemu kembali di food review kami yang seterusnya. Salam Ramadhan Mubarak kepada semua !

Teh Tarik Leleh (RM 3.00 sebungkus)

Address

Jalan Ghazali Jawi, Taman Ipoh, 31400 Ipoh, Perak.

Dibuka hanya pada bulan Ramadan dari jam 4.00 petang – 8.00 malam.

NOTA : Kami tidak makan secara percuma, ataupun kami dibayar(ditaja) untuk food review ini. Semua kos makanan ditanggung oleh kami sendiri dan bukan daripada mana-mana tajaan. Food review ini adalah ringkasan umum dari maklum balas yang diberikan daripada semua ahli keluarga M Boutique yang mengambil bahagian.

Hi, saya peminat tegar anime One Piece ! Saya merupakan pejuang keyboard di M Boutique Family. Sering bertengkar dengan ketua editor kerana kesalahan tatabahasa. Itu perkara biasalah lah kome.
Close

Language