fbpx

Cabaran Servis Penghantaran Makanan

Penggunaan Perkhidmatan Penghantaran Makanan di Ipoh

Susulan pandemik COVID-19, perkhidmatan penghantaran makanan telah menjadi keperluan utama kepada semua warga Ipoh. Perkara ini telah menjadi satu norma baharu di kalangan orang ramai, di mana mereka lebih memilih untuk menggunakan servis ini daripada makan di restoran. Kita sering melihat rider berpakaian berwarna pink atau hijau keluar masuk restoran dengan mengusung bag, betul tak? Nampaknya trend penghantaran makanan kini telah menandingi fenomena bubble tea? Tanpa membuang masa, untuk ulasan kali ini kami bawakan kepada anda Cabaran Penghataran Makanan Paling Pantas. Apa semua ini ya? Baca dulu, baru tahu!

Sudah Lama Tidak Bertemu

Secara jujurnya, saya ketandusan idea dalam menulis posting ini kerana terlalu lama duduk di rumah. Rindu kami tak? Ofcourse kami rindu anda semua! Nampaknya kita saling merindui satu sama lain. Betul tak? Tolong kata ya. Saya perlukan sedikit motivasi supaya saya dapat memulakan penulisan mengenai pengembaraan makanan kami di Ipoh. Bagi yang baru mengenali kami. Kebiasaanya kami pergi secara berkumpulan…Namun, kita perlu patuh kepada aturan SOP yang telah ditetapkan. Selalu kita dengar “Jaga jarak, jaga jarak”. Oleh itu, Papa tidak membenarkan kami untuk makan di luar.

Mainstream

Oleh kerana kami tidak boleh keluar, apa lagi alternatif lain yang ada selain daripada membuat pesanan secara online? Biar kami selidik beberapa perkhidmatan penghantaran yang ada di sekitar Ipoh. Untuk cabaran ini, kami memilih Foodpanda, GrabFood dan Runnermyrun. Syarikat ini, antara perkhidmatan yang semakin maju di Ipoh untuk membantu mereka yang sibuk dengan rutin harian, sampai nak beli makanan pun tak sempat. Yang menariknya, anda boleh memuat naik aplikasi ini dengan mudah. Taip je dalam Google Playstore, App Store, mesti jumpa. Sebenarnya banyak lagi perkhidmatan yang lain, tapi kami memilih tiga perkhidmatan ini kerana ia merupakan pilihan orang ramai.

Pemain

Seramai tiga orang pemain mengambil bahagian di dalam cabaran ini. Lucifer sekali lagi membuat comeback untuk join cabaran ini (Dia ni lagi, haha). Okay, sekarang tiba masa untuk berkenalan dengan pemain lain; si misteri Bruce Wayne dan teman wanita Thor yang hot iaitu Jane Foster. Gempak bukan alter ego mereka? Nama je gempak, muka takde iras iras pun…..sikit pun tak hahaha. Mereka dibahagikan kepada tiga pasukan, Lucifer mewakili GrabFood, Jane Foster bagi Foodpanda dan Runnermyrun pula untuk Bruce Wayne.

Cabaran Penghantaran Makanan

Untuk pengetahuan anda, empat kriteria yang digariskan di dalam cabaran ini adalah harga, kelajuan, servis dan kualiti. Peserta akan memesan menu yang sama, dari restoran dan pada waktu yang sama. Dari sudut harga, kami akan membandingkan harga, diskaun, caj penghantaran dan cukai. Dalam masa yang sama, perkara yang memainkan peranan paling penting ialah kelajuan. Jadi, rider yang akan sampai dahulu akan menjadi pemenang cabaran ini. Untuk servis pula, kami menitikberatkan kemudahan penggunaan aplikasi. Akhir sekali, dari segi kualiti, ia berkait rapat dengan cara penyediaan makanan oleh pihak restoran.

Drama Nasi Goreng Daging

Selepas berbincang, mereka sebulat suara untuk memesan Nasi Goreng Daging daripada Addon White Coffee. Tiba masa untuk makan tengah hari! Mereka telah bersedia untuk membuat pesanan. Meskipun begitu, Lucifer tidak dapat meneruskan pesanan. Hal ini kerana, restoran tersebut telah ditutup di dalam aplikasi GrabFood. Malang sungguh! Bruce Wayne betul-betul nak makan nasi goreng daging tengah hari ni. Serba salah menyelembungi diri, Lucifer tetap fokus menghadap telefon bimbitnya untuk mencari restoran lain. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan…..Secara tiba-tiba Lucifer menjerit,”Yay, aku jumpa satu. Dapat Nasi Goreng Daging untuk kau Iqbal”. Dengan itu, mereka beralih kepada masakan Nasi Goreng Daging daripada restoran cina muslim yang baru dibuka di Ipoh iaitu Restoran Pak Cik Wong. 1,2,3 mari kita lihat siapa sampai dahulu.

Kami Percaya Akan ETA

Menurut Jane Foster, masa yang diberikan di aplikasi Foodpanda untuk makanannya sampai dalam 18 minit. Manakala bagi Runnermyrun pula, anggaran masa ditetapkan secara spesifik iaitu jam 2:06 petang. Jangkaan masa untuk makanan tiba dari GrabFood pula ialah di antara jam 2:10 -2:25 petang. Setiap aplikasi mempunyai ETA yang berbeza kan? Tapi, sejauh mana ketetapannya? Mari kita sama-sama menunggu ketibaannya…..

Tuah Panda

Apabila aplikasi memberikan notifikasi bahawa penghantaran akan tiba dalam 5 minit lagi, riak wajah setiap pemain jelas menunjukkan yang mereka ternanti-nanti, siapa yang akan sampai dahulu. Penantian yang ditunggu berakhir, apabila kelibat rider dapat dilihat menerusi tingkap. *vroom vroom! Rider tiba di tempat khas penghantaran makanan M Roof Hotel & Residences! Dan pemenang bagi cabaran penghantaran makanan paling cepat ialah…..Foodpanda!

Drama Runnermyrun

Sebaik sahaja Jane Foster gembira mengambil pesanannya, berlaku satu masalah terhadap pesanan Bruce Wayne. Pesanannya dibatalkan secara tiba-tiba dan dia terus menghubungi pihak khidmat pelanggan Runnermyrun. Semakin keliru, ketika Jane sedang mengambil makanannya, rider Runnermyrun pun tiba pada masa yang sama. Maka bermula lah drama….

Kami bertanyakan kepada rider Runnermyrun sama ada pesanan itu betul atas nama Bruce ataupun bukan. Hairan! Memang betul pesanan itu untuk Encik Iqbal a.k.a Bruce Wayne! Habis lah! Baru je sekejap tadi pesanannya dibatalkan, tapi makanannya dah ada depan mata!!

Untuk menjelaskan keadaan, Iqbal menyatakan bahawa dia mendapat maklum balas dari pihak Runnermyrun terhadap pembatalan pesanan ini. Walaupun ianya dibatalkan, sebenarnya pesanan tersebut tetap diteruskan. Patut lah…maka berakhir lah drama Runnermyrun ini.

Si Malang

Kasihan Lucifer…dia pasti sangat lapar sekarang. Rakan yang lain sudah mendapat pesanan mereka, tapi ridernya masih belum nampak bayang. Walaupun terasa sangat lama, namun selepas 4 minit, akhirnya rider Grabfood pun tiba. Nampaknya Lucifer terpaksa menerima hakikat yang dia telah kalah di tempat terakhir (nombor 3). Mungkin boleh cuba nasib lain kali? Cukup la Nasi Goreng dah ada di tangan tu.

Harga berbaloi?

Perkara pertama yang mereka bincangkan adalah mengenai harga. Harga Foodpanda adalah paling rendah iaitu RM16.97. Walau bagaimanapun, Fatiha menyatakan harga sebenar hanya RM13.80 dengan penambahan kos penghantaran sebanyak RM3.17. Harga Foodpanda sedikit murah kerana tiada tambahan Telur Goreng. Seterusnya, jumlah keseluruhan untuk GrabFood pula ialah RM20.10, dengan tambahan penghantaran RM3.00. Set daripada GrabFood datang bersama air dan telur goreng. Manakala kasihan Iqbal, harga Runnermyrun paling mahal antara semua iaitu RM20.80 dengan kos penghantaran RM3.50 dan caj servis sebanyak RM1.50. Caj penambahan ni hampir RM5.00!

Foodpanda ialah Pemenang

Ayuh imbas kembali, kami mula membuat pesanan dalam lingkungan 1:40 petang dan Foodpanda adalah yang pertama tiba selepas 25 minit. Sebagai pemenang untuk cabaran hari ini, Jane Foster sangat teruja apabila ridernya tiba pada jam 2:09 petang. Seterusnya, Runnermyrun pula tiba pada jam 2:12 petang. Nak diringkaskan, makanan tersebut tidak sampai pada waktu yang diberi iaitu jam 2:06 petang. Dengan drama yang telah berlaku, Bruce masih mampu untuk mendapat tempat kedua, kagum kan? Akhir sekali, nampaknya nasib tidak menyebelahi GrabFood kerana merupakan rider yang terakhir tiba. Lucifer menyatakan dia di tempat terakhir kerana rider tersebut menghantar pesanan lain terlebih dahulu sebelum tiba ke hotel. Akan tetapi tidak terdapat jurang masa yang terlalu jauh di antara aplikasi ini.

Perkhidmatan Penghantaran Mana Yang Terbaik?

Bercakap mengenai aplikasi yang mudah dan mesra pengguna…..saya berikan kredit kepada aplikasi Foodpanda dan GrabFood. Ini dipersetujui oleh Lucifer dan Jane sepanjang pengalaman mereka menggunakan aplikasi ini. Tambahan lagi, aplikasi ini juga memberikan pilihan yang lebih banyak. Dengan itu, Bruce agak tidak puas hati dengan aplikasi runnermyrun yang tidak mesra pengguna di mana dia hanya memberikan rating sebanyak 3.5. Ini juga disebabkan oleh aplikasi ini yang membatalkan pesanannya.

Kelazatan Nasi Goreng Daging

Ulasan makanan takkan complete tanpa adanya makanan yang diulas. Ketiga-tiga peserta mempunyai kata sepakat menyokong nasi goreng tersebut sedap. Mereka juga menyokong akan jumlah nasi dan daging yang banyak. Dengan itu, kami sarankan agar anda tidak memesan nasi lebih. Hidangan ini juga bersesuaian dengan harga. Bruce memberikan rating makanan sebanyak 7/10. Anda perlu pergi ke Restoran Pak Cik Wong sekiranya anda mahu mencuba makanan cina muslim. Jangan lupa untuk senaraikan restoran ini di dalam list kalau nak datang ke Ipoh!

Cabaran Penghantaran Makanan Berakhir

Untuk mengakhiri cabaran ini, mari kita berikan tepukan yang gemuruh kepada Foodpanda! Aplikasi ini memenangi kesemua aspek yang dikategorikan…..harga yang paling murah, mudah digunakan dan mesra pengguna. Bukan main puji kan? FYI, kami tidak disponsor oleh mana mana servis ini yaaa! Ulasan ini semuanya daripada pengalaman sendiri di sepanjang cabaran ini berlangsung.

Untuk rating keseluruhan, pemenang cabaran memberikan Foodpanda sebanyak 8/10 dan sangat berpuas hati dengan servis mereka. Pemenang kedua, memberikan runnermyrun 6/10 kerana beberapa kerumitan semasa menggunakan aplikasi. Lucifer tetap memberikan GrabFood rating yang tinggi, 8/10 walaupun berada di kedudukan tercorot. Ini kerana dia merupakan pengguna tegar aplikasi GrabFood.

Stay Safe Semua

Kesimpulannya, penggunaan perkhidmatan penghantaran makanan di Ipoh merupakan servis yang sangat penting dalam pandemik ini. Ianya berguna kepada mereka yang memilih untuk tidak keluar rumah dan khuatir akan penyebaran virus. Dengan hanya membuat pesanan daripada mana-mana aplikasi, pesanan tersebut akan terus sampai depan rumah. Bukan itu sahaja, demi menjaga keselamatan, anda boleh meminta agar pesanan tersebut diletakkan di hadapan rumah. Objektif kami dalam mengadakan cabaran ini ialah untuk menggalakkan lagi penggunaan servis penghantaran makanan di Ipoh. Dengan itu, anda tidak perlu keluar untuk ke tempat yang sesak untuk mendapatkan makanan. Stay Safe semua, kita masih bergelut dengan COVID-19. #KitaJagaKita

Alamat
20, Persiaran Greentown 10, Greentown Business Centre, 30450 Ipoh, Perak
No. Telefon
+6052106222
Waktu Operasi
12:00 tengah hari – 10:00 malam

NOTA : Kami tidak makan secara percuma, ataupun kami dibayar(ditaja) untuk food review ini. Semua kos makanan ditanggung oleh kami sendiri dan bukan daripada mana-mana tajaan. Food review ini adalah ringkasan umum dari maklum balas yang diberikan daripada semua ahli keluarga M Boutique yang mengambil bahagian.

Close

Language