fbpx

Greentown Dim Sum Kafe

Idamkan Dim Sum untuk makan malam? Tapi mana nak cari? Kepada semua Kaki Makan di luar sana, terutamanya kepada rakan muslim yang teringin nak merasa Chinese dim sum, jom kita terjah Greentown Dim Sum Kafe. Kita semua tahu kebiasaannya dim sum menjadi juadah untuk sarapan pagi, tetapi kali ini kami berjaya membuat tempahan untuk makan malam (walaupun Papa dah warning makanan akan banyak habis bila kami sampai nanti). Saya perasan kedai ini setiap kali saya ke pejabat  PTPTN (anda tahu la kenapa saya ke sana kan, hahaha jangan lupa bayar hutang). Saya sering melihat kedai ini dipenuhi orang ramai yang sedang menikmati makanan mereka. Rasa kekok untuk terus menaip bila Papa duduk dekat sebelah saya sekarang ni, lagi-lagi bila nak mengaku yang ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki di kafe ini walaupun ia sudah beroperasi selama 9 tahun. Tapi bak kata orang putih “better late than never” kan? Apa yang menarik perhatian kami tentang kafe ini adalah pelanggannya yang terdiri daripada semua lapisan masyarakat di Malaysia walau berbeza warna kulit dan kepercayaan. Itu sebabnya M Makan Kaki’s bernekad untuk mencuba makanan di sini. Bandar Ipoh boleh dikategorikan sebagai ‘syurga dim sum’, tetapi tidak semua orang berpeluang untuk mencubanya. Yakinlah! Greentown Dim Sum Kafe adalah satu-satunya kedai di bandar Ipoh yang mempunyai sijil halal dari JAKIM! (jangan was was). Oh ya! Mungkin Canning Dim Sum Kafe terlintas di fikiran anda sekarang, jangan salah faham bahawa kafe di sana cuma ‘bebas babi’ dan tidak mempunyai sijil halal.

Greentown Dimsum2

Bertempat di Pusat Perdagangan Greentown, bersebelahan Berlin’s Bier Houz, Greentown Dim Sum Kafe mula beroperasi sejak tahun 2010 yang diasaskan oleh Puan Judy Chin dan suaminya. Kami sangat bertuah apabila kami dilayan oleh pemilik kedai itu sendiri sewaktu ketibaan kami. Malangnya, kami dimaklumkan oleh Puan Judy bahawa beberapa pilihan makanan telah habis (betul cakap papa…). Tapi ia tidak mematahkan semangat kami untuk menikmati dim sum di sini! Kami tidak mengambil masa yang lama untuk membuat pesanan kerana salah seorang daripada kami pernah beberapa kali datang ke sini. Dia tahu apa yang perlu dipesan. Langsung tak kedengaran “nak makan apa ni?”. Dengan menawarkan pelbagai jenis dim sum dan menu lain, ia dapat membuat penggemar dim sum menikmati menu di sini sepanjang hari. Kami bersepakat untuk memesan – Fried Shang Mee, Claypot Chicken and Egg Rice, Fried Bean Curd Roll, Prawn Dumpling, Fried Radish Cake, Pau BBQ Ayam, Golden Fish Dumpling, Prawn Siew Mai, Chicken Siew Mai, Pyramid Dumpling dan Chicken Glutinous Rice.

Menu Greentown Dim Sum

Mrs. Judy

Sementara menunggu makanan tiba, kami sempat berbual bersama pemilik kafe, Puan Judy. Pasti anda tertanya mengapa beliau ingin membuka sebuah kafe dim sum yang mempunyai Sijil Halal daripada membuka kafe dim sum yang biasa kan? Kami juga curiga! Mari kami kongsikan rahsia di sebalik persoalan ini (jangan bagitahu sesiapa okay? Ni rahsia antara kita je, haha). Semasa di bangku sekolah Puan Judy bersekolah di Sekolah Kebangsaan, disebabkan itu beliau mempunyai ramai kenalan daripada masyarakat melayu dan mereka masih berkawan sehingga ke hari ini. Oleh kerana itu, beliau membuat keputusan untuk membuka kafe halal supaya kenalannya dapat menikmati keenakan dim sum (boleh kita laungkan 1 Malaysia sekarang?). Sebelum saya terlupa, kafe ini mampu menempatkan hampir 100 orang pada satu masa. Kafe ini terbahagi kepada 2 bahagian; bahagian berpenghawa dingin dan bahagian luar kedai (open air). Kami semestinya memilih untuk duduk di bahagian berpenghawa dingin. Puan Judy juga memaklumkan bahawa dalam masa sehari pasti akan ada menu dim sum yang kehabisan stok. Hal ini sengaja dilakukan kerana keterbatasan mereka untuk menyediakan kesemua menu pada malam sebelumnya. Pada masa yang sama ia dapat menjaga kualiti kesegaran makanan tersebut.

Apa yang membuatkan dim sum di sini sangat istimewa ialah ianya dihidangkan di dalam pengukus buluh. Ini part paling best! Kami sangat sangat tertarik dengan Pau BBQ Ayam. Ia mungkin kelihatan seperti pau biasa, tapi bak kata pepatah barat “don’t judge book by it’s cover“. Pastri pau tersebut ringan dan begitu lembut, manakala isinya pula adalah lebih manis berbanding dengan pau yang lain (Kami sangat suka pau ini!).

Fried Bean Curd Roll pula dihidangkan semasa ia masih panas. Kerangupan kulitnya terasa di gigitan pertama dan ia juga mudah hancur di dalam mulut. Kami begitu menikmati hidangan ini sehingga kami tidak perasan akan sos pudina yang dihidangkan sebagai sos pencicah. Tidak lupa juga, ianya kurang berminyak! Seterusnya, Prawn Dumpling (Har Kau), ia mempunyai doh yang lutsinar dan kesegaran udang dapat dirasa sebaik sahaja ia dimakan.

Pyramid Dumpling (Salted Egg Har Kau) merupakan hidangan yang mendapat sentuhan baharu daripada Prawn Dumpling. Gabungan di antara udang dan telur masin sememangnya menyelerakan! (Saya suka!). Golden Fish Dumpling sangat berbaloi untuk dicuba dan cukup menarik, di mana ianya berbentuk ikan emas. Walau bagaimanapun, ada di antara kami yang kurang menyukainya kerana hidangan ini agak mentah. Kepada penggemar sushi, anda boleh mempertimbangkan untuk mencubanya! Siew Mai memberi kelainan kepada kami (kebanyakkan daripada kami baru mencubanya buat kali pertama). Dari aspek persembahan makanan, kulit Siew Mai ini kelihatan agak lembab dan berkedut. Kami turut menikmati hidangan Fried Radish Cake yang sangat sedap, di mana ia dimasak menggunakan taugeh dalam kuantiti yang banyak dan cili yang secukupnya. Menu ini mempunyai rasa seakan “char kuey teow”. Saiz hidangan Fried Radish Cake ini juga sesuai dimakan untuk 3 hingga ke 4 orang.

Chicken Glutinous Rice (Lor Mai Kai) pula mempunyai rasa yang memuaskan. Ia merupakan hidangan yang dikukus, tetapi terlalu masin untuk citarasa kami. Kami juga menikmati Fried Shang Mee yang mana ia seakan sama seperti Wan Tan Hor (Cantonese Fried Noodles); Shang Mee bermaksud “Mee mentah” yang mana mee itu di goreng sehingga betul-betul rangup dan enak rasanya! Kami nasihatkan agar anda berkongsi jika anda memesan mee ini kerana saiz hidangannya sangat besar. Jika tidak anda akan berhenti makan sebelum anda sempat menikmati dim sum! Clay Pot Chicken rice juga tidak menghampakan. Nasi yang dimasak di dalam periuk tanah liat menggunakan arang dengan sos pekat soya dan ayam yang diperap menjadikan hidangan ini sukar untuk dilupakan.

BBQ Chicken Pau (RM 5.10/2 ketul)

Fried Bean Curd Roll (RM 6.70/3 ketul)

Pyramid Dumpling (RM 7.60/3 ketul)

Fried Radish Cake (RM 7.80)

Fried Shang Mee (RM 8.50)

Prawn Dumpling (RM 7.40/3 ketul)

Siew Mai (RM 7.40/3 ketul)

Chicken Glutinous Rice (RM 6.10)

Untuk minuman, kami memesan 4 jenis air iaitu Carrot Orange, Lemon Ice, Kiwi Ice, and Greentown Milk Tea (Teh Tiga Lapis). Anda pasti tidak akan berasa kesal dengan jus ini kerana ianya dihasilkan melalui perahan daripada buah asli (bukan menggunakan kordial perisa buah-buahan okay?). Greentown Milk Tea pula merupakan air yang wajib untuk dicuba apabila anda datang ke sini. Lapisan teh yang terdapat di dalam air ini tidak terlalu manis dan ia mempunyai rasa pandan yang berbeza tetapi tidak terlalu kuat. Aroma pandan tersebut membuatkan air ini menjadi juara!

Secara keseluruhannya, hidangan di sini sangat memuaskan bagi kafe yang menjual dim sum halal. Kami berjaya menghabiskan duit poket Papa sebanyak RM124.40 bagi 6 orang kami termasuk minuman. Harga tersebut sangat berpatutan di mana kami menyangka jumlah bayaran bagi pesanan kami sekitar RM200. Dengan jumlah bajet sebanyak RM300 untuk food review, kami sepatutnya boleh berbelanja besar (hahahaha)…arrrr, tak mengapa, mungkin untuk review yang seterusnya. Kafe ini merupakan pilihan yang paling tepat bagi mereka yang mahu menikmati dim sum halal, lebih-lebih lagi kepada penggemar dim sum. Rating? 8/10 kerana Greentown Dim Sum Kafe adalah satu-satunya tempat yang memberi peluang supaya dim sum dapat dinikmati pada waktu malam!

Kiwi Ice, Greentown Milk Tea, Lemon Ice & Carrot Orange

Not For Sale

Alamat

10, Persiaran Greentown 4, Pusat Perdagangan Greentown, 30450 Menglembu, Perak

No telefon: +05-255 2010

Dibuka setiap hari dari 8.00 pagi – 9.00 malam 

Tutup pada hari Selasa

NOTA : Kami tidak makan secara percuma, ataupun kami dibayar(ditaja) untuk food review ini. Semua kos makanan ditanggung oleh kami sendiri dan bukan daripada mana-mana tajaan. Food review ini adalah ringkasan umum dari maklum balas yang diberikan daripada semua ahli keluarga M Boutique yang mengambil bahagian.

Hi, saya peminat tegar anime One Piece ! Saya merupakan pejuang keyboard di M Boutique Family. Sering bertengkar dengan ketua editor kerana kesalahan tatabahasa. Itu perkara biasalah lah kome.
Close

M Boutique Family of Hotels | Official Group Website

Hotel & Kediaman yang Unik di Malaysia

M Boutique Family of Hotels | Official Group Website

Hotel & Kediaman yang Unik di Malaysia



Language