fbpx

M Makan Kaki kini semakin berani dalam mengorak langkah meneruskan penjelajahan makanan kami. Dengan kepelbagaian makanan yang ada di Ipoh, sudah pasti pengembaraan ini tidak berpenghujung. Sebagai permulaan, cuba anda bayangkan tempat dari mana asalnya penari arab, unta dan shisha… ha… kali ini kami menghala ke negara Timur Tengah. Entah mengapa, kami menginginkan hidangan Arab untuk ulasan kali ini, oleh itu kami semua bersetuju untuk ke Hadramot Tent. Nasi Arab… kami datang!!!

Saya mendapatkan beberapa maklumat tentang restoran ini terlebih dahulu dari Encik G (Google) sebelum memulakan ulasan ini. Biasalah, zaman sekarang ini semuanya di hujung jari. Saya beranggapan bahawa restoran ini dikelaskan dalam kategori yang baik kerana mendapat penarafan dari netizen sebanyak 4.7/5 di laman Facebook mereka. Wow! Rating yang agak tinggi! Adakah restoran ini berhak mendapat penarafan sebanyak itu? Jangkaan saya terhadap restoran ini semakin meningkat. Tentu anda tertanya, apakah yang membuatkan seseorang itu menggemari masakan Timur Tengah, kan? Bayangkan letusan rempah ratus, herba dan bahan segar lain, semuanya di dalam mulut… Yum Yum! Aroma ini pasti membuatkan anda terliur. Tunggu apa lagi? Ayuh sama-sama kita menunggang unta ke Hadramot Tent!

Marhaba Hadramot Tent!

Selepas beberapa minit menempuh kesibukan lalu lintas di Ipoh, kami tiba di Hadramot Tent pada waktu senja. Kami menuju masuk ke dalam restoran dengan kadar segera kerana ada di antara kami yang telah sampai terlebih dahulu. Secara jujurnya, restoran ini dapat membuatkan seseorang itu seakan-akan berada di negeri Arab. Ia mempunyai rekaan dalaman Arab moden dengan hiasan kertas dinding putih geometrikal yang minimal. Keseluruhan restoran ini juga diterangi dengan lampu siling dan lampu hiasan. Tambahan pula, kesemua krew di restoran ini berasal dari Syria dan Yaman. Hal ini menguatkan lagi suasana seperti anda kini berada di Timur Tengah.

Sebelum kita ke ulasan makanan, saya ingin berkongsikan serba sedikit latar belakang Restoran Hadramot Tent ini. Percaya atau tidak, mereka telah beroperasi selama 7 bulan, bermula pada 12 Jun 2019. Restoran ini sebenarnya dimiliki oleh Encik Abdul Majeed. Sungguhpun begitu, beliau memberi kepercayaan penuh kepada Encik Sheikh Muhammad, seorang warganegara Syria yang mempunyai 5 tahun pengalaman bekerja sebagai pengurus restoran di Malaysia. Sementara itu, Encik Sheikh turut menjelaskan bahawa nama restoran mereka iaitu “Hadramot”, merupakan salah satu nama bandar di Yaman iaitu “Hadhramaut”. Pada awalnya, saya bertanggapan bahawa restoran ini merupakan cawangan baru kepada Restoran Hadramout Paradise yang terletak di Kinta Riverfront. Mana tidaknya, nama restoran pun seakan-akan sama, kan? Tapi ternyata sangkaan saya salah. Encik Sheikh menjelaskan bahawa Hadramot Tent adalah satu-satunya cawangan yang terdapat di Ipoh.

Bahasa Arab….Kami Keliru!

Tentang makanan? Hadramot Tent menawarkan pelbagai makanan yang berasal dari negara Syria dan Yaman. Kami mengambil masa yang agak lama untuk memesan hidangan di restoran ini. Ini disebabkan kebanyakkan masakan di sini merupakan satu hidangan yang baru kepada kami. Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai pilihan makanan seperti nasi, salad, pembuka selera, makanan laut…… okay, cukup sampai sini. Mujurlah peminat tegar makanan arab kami menyelamatkan keadaan. Dia memang pakar bab-bab makanan arab ni. Jadi kami serahkan tugas memesan makanan kepada dia. Encik Sheikh Muhammad menunggu dengan sabar untuk mengambil pesanan kami, beliau juga turut menjelaskan serba sedikit tentang hidangan yang kami kurang tahu, lebih-lebih lagi apabila sesetengah nama hidangan menggunakan Bahasa Arab. Akhirnya, kami memesan Kabsa Chicken Quarter, Mandy Lamb Regular, Lamb Slices with Rice, Mixed Grill, Small Shawarma and Basbousa. Manakala untuk minuman pula, kami memesan Adani Tea, Arabic Tea, Avocado, Hadramot Tent Cocktail dan Orange bersama Lemon.

Yalla Nakoul! (Mari Makan!)

Makan malam siap terhidang! Lambakan nasi dan daging di atas meja hanya menunggu masa untuk dibaham oleh kami yang kelaparan. Kami memilih untuk berkongsi makanan supaya kami dapat merasai kesemua hidangan yang ada. Walau bagaimanapun, apabila Mixed Grill tiba di meja, saya agak kecewa…..seperti mana orang kata “Indah khabar daripada rupa”…… Oleh kerana perut mula berbunyi, kami terus mencapai sudu dan garfu dan……. Yalla Nakoul!

Kabsa atau Mandy? Kedua-Dua Pun Boleh!

Ini merupakan percubaan pertama saya untuk menikmati Kabsa Chicken. Campuran rempah-ratus Kabsa memberikan rasa yang enak menerusi nasinya yang cukup beraroma. Untuk pengetahuan anda, seperti yang dinyatakan oleh pengurus restoran ini, Kabsa ini diperbuat daripada campuran buah pelaga, lada putih, kulit kayu manis dan rempah lain bersama beras dan ayam. Akan tetapi, ayamnya agak tawar, bertentang dengan keterangan yang dikatakan pelbagai rempah-ratus digunakan untuk hidangan ini. Kalaulah ayam ini lebih masin, pastinya ia lebih sedap.

Nasi Mandy Untuk Semua

Sebagai tambahan, Encik Sheikh berkongsikan tentang rakyat Malaysia yang cukup menggemari Nasi Mandy (menu ini WAJIB untuk dipesan ya!). Oleh kerana saya telah mencuba Nasi Mandy sebelum ini (di tempat lain), saya mempunyai jangkaan rasa yang tersendiri. Bertuah betul, Nasi Mandy mereka menepati jangkaan tersebut. Ia sememangnya sangat sedap! Thumbs up untuk kambing, tetapi tidak kepada saiznya yang kecil (2 ketul kambing mana cukup!). Daging kambingnya begitu lembut, jadi anda tidak perlu bersusah-payah untuk menguyah. Jangan lupa untuk makan daging tersebut bersama nasi…..memang padu! Peminat tegar makanan arab kami seperti di awang-awangan menikmati Nasi Mandy-nya.

Malangnya, kepingan kambing panggang pula terlebih masak dan kering. Lapisan hangit di kambing, merudumkan rasa kambing yang sepatutnya lazat. Bukan sahaja ahli M Makan Kaki tidak berhenti-henti mengadu tentang hal ini, malah mereka asyik mengingatkan saya supaya tidak lupa untuk menulis didalam ulasan kali ini (saya dah selitkan ya?)

Ketiga-tiga juadah ini terdiri daripada Nasi Kabsa atau Mandy yang dihidangkan bersama ayam atau kambing, termasuk sup dan Sahawiq (sejenis sambal arab). Bagi pandangan saya, sup tersebut agak masin. Beberapa ahli dari keluarga kami juga bersependapat tentang hal ini.

Sahawiq a.k.a Sambal

Kita lupakan tentang sup masin, sekarang masa untuk bercakap tentang Sahawiq atau dikenali sebagai sambal. Seperti yang dinyatakan oleh Encik Sheikh, ia merupakan sambal yang tidak dimasak, diperbuat daripada tomato, bawang putih dan cili yang telah dikisar. Nama sahaja sambal, tapi ianya tidak pedas langsung! Jadi, bolehlah anda mencicah ayam atau kambing kedalam sambal ini tanpa ragu-ragu bagi siapa yang lidahnya tidak berminat kepada masakan pedas.

Hadramot Tent Mix Grill

Okay, masa yang ditunggu-tunggu telah tiba. Ia adalah Mixed Grill yang akan membuatkan saya membebel tanpa henti. Pada awalnya, saya dan salah seorang dari ahli keluarga kami ingin berkongsi Mixed Grill selepas melihat saiz hidangan yang begitu besar di dalam menu. Sebaik sahaja hidangan tersebut tiba, kami begitu kecewa melihat saiznya. Kekecewaan kami pula ditambah dengan lobak merah dan bawang yang dibakar sehingga hangit…..Mixed Grill dihidangkan dengan 4 jenis daging yang diletakkan di atas roti pita, kentang goreng dan sos putih. Menurut Encik Sheikh Muhammad, Mixed Grill ini terdiri daripada kepingan kambing, Kebab Ayam dan Kambing serta Shish Taouk iaitu kepingan ayam. Betapa bersyukurnya saya dapat menikmati daging yang berjus, jika dibandingkan dengan sayur yang telah hangus.

Selain daripada itu, terdapat juga kepingan pita yang berbentuk segi tiga yang membolehkan anda untuk membalut daging. Walaupun begitu, anda perlu berhati-hati kerana terdapat lapisan cili di dalam pita tersebut yang pasti akan menyerang deria rasa anda. Sos putih yang berada dalam pita itu yang mana saya sangkakan ianya mayonis sebenarnya merupakan sos bawang putih. Apabila ditanya mengenai penyediaan sos ini, Encik Sheikh ketawa besar sambil menjawab ia merupakan resepi rahsia dan ia dipanggil Toum dalam bahasa arab.

Shawarma

Shawarma merupakan hidangan Arab yang wajid dicuba. Oleh itu, kami memesan Shawarma bersaiz kecil. Walau bagaimana pun, saiznya tidaklah sekecil yang disangka. Kebiasaanya, seseorang itu pasti mengkritik tentang inti dalamnya yang agak kosong, namun Shawarma di sini penuh diisi dengan kepingan ayam! Pencinta daging kami berkata, “Ianya dipenuhi 100% kepingan ayam tanpa sayur walaupun sedikit”. Kami berharap agar pihak Hadramot Tent menambahkan lagi kuantiti sayur di dalam Shawarma untuk menjadikannya lebih sempurna!

Makan malam tidak akan lengkap tanpa adanya pencuci mulut. Dengan itu, Encik Sheikh mencadangkan kami untuk mencuba pencuci mulut arab, Basbousa (Bukan Kapten Barbossa dari Pirates of The Carribean, okay?). Ia sangat lembut dan lembab dengan rasa mentega dan almond. Sesuap Basbousa memberikan tekstur seakan tanah di dalam mulut. Kami mencadangkan agar anda mencuba Basbousa ini, jangan lupa tau!

Jus Hadramot Tent Paling Segar di Bandar!

Tiba masa untuk mengulas mengenai minuman yang menghilangkan rasa dahaga. Hadramot Tent Cocktail merupakan campuran 5 jenis buah-buahan iaitu Strawberry, Mangga, Pisang, Kiwi dan Avocado yang dikisarkan bersama krim. Ia memberikan rasa segar buah-buahan, tetapi sejujurnya buah pisang lebih terasa berbanding buah yang lain. Begitu juga bagi Jus Avocado, di mana buah avocado dan krim dikisarkan bersama dan krim putar diletakkan di atasnya. Ia sememangnya mempunyai rasa lemak buah avocado. Manakala bagi Jus Oren bersama Lemon pula, ia membuatkan rakan kami menunjukkan reaksi muka masamnya. Menurutnya, ia sungguh masam sehingga dia tidak mampu mengawalnya.

Masa Untuk Secawan Teh

Seterusnya, kita pergi kepada Teh Arab dan Teh Adani. Teh Arab dihidangkan di dalam gelas kecil bersama bekas gula yang diasingkan. Bagi Teh Adani pula, ianya diperbuat daripada campuran rempah seperti kulit kayu manis, buah pelaga dan halia. Peminat tegar makanan arab kami menyukai keunikan rasa teh tersebut yang tidak pernah dinikmatinya di tempat lain.

Ma’a Salama Hadramot Tent! (Selamat Tinggal!)

Kami berjaya menghabiskan kesemua hidangan tanpa meninggalkan sebarang sisa, saya sangat bersyukur! Papa kami pasti berbangga dengan kami berlima. Setelah mempertimbangkan kesemua aspek, boleh dikatakan makanan Hadramot memang lazat! Jumlah keseluruhan yang telah dibelanjakan adalah RM167.00 untuk kami berlima. Secara keseluruhannya, kami sangat berpuas hati dengan makanan di sini dan memberikan 6/10. Apa yang diharapkan, Hadramot dapat meningkatkan mutu bagi sesetengah makanan mereka agar ia boleh mencapai tahap yang sempurna.

Alamat
3, Jalan Sri Ampang, Taman Ipoh Jaya, Kampung Gunung Rapat, 31350 Ipoh, Perak
Telefon
+6017-364 5092
Masa Operasi
11:00 AM – 11:00 PM (Isnin hingga Ahad)

NOTIS : Kami tidak makan secara percuma, ini merupakan ulasan yang berbayar. Kami memesan dan membayar untuk semua makanan. Ulasan ini hanya ringkasan pendapat daripada kesemua ahli keluarga M Boutique Hotel yang mengambil bahagian di dalam ulasan makanan. Jika anda ingin ketahui dengan lebih mengenai mereka, jangan lupa untuk mengunjungi laman Facebook mereka.

*Jangan lupa untuk subscribe Mewsletter kami untuk mendapatkan promosi dan ganjaran terbaharu daripada M Boutique Family of Hotels!

Close

Language