fbpx

Labu Sayong Signature Meru

Pernah anda lihat sebuah restoran di dalam rumah warisan melayu? Ayuh teroka Restoran Labu Sayong Signature bersama kami, M Makan Kaki’s! May the food be with you. Ha Ha Ha. Labu Sayong Signature diasaskan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) berdasarkan seni bina “Rumah Kutai”, rumah tradisional melayu yang sinonim di negeri Perak, Malaysia pada awal tahun 1900. Terletak tidak jauh dari Bulatan Amanjaya di Meru Raya, restoran ini merupakan suatu inisiatif terbaik dalam mempromosikan masakan dan seni kulinari negeri Perak. Jangan keliru kerana restoran ini juga mempunyai cawangan lain iaitu Labu Sayong @Silveritage yang terletak di Medan Gopeng. Walau bagaimanapun, cawangan ini tidak lama lagi akan berpindah berhampiran dengan cawangan utama mereka iaitu Labu Sayong Signature; dan kali ini mereka akan lebih fokus kepada makanan laut Melayu (di dalam rumah tradisional juga!) tapi itu cerita lain…… Menurut pengurus restoran Labu Sayong Signature iaitu Encik Fiz, mereka menawarkan lebih daripada 50 jenis menu makanan dan hampir 70% daripadanya ialah masakan tradisional orang melayu negeri Perak yang telah diadaptasi dan dipermudahkan masakannya daripada masakan negeri-negeri lain. Sejak restoran ini mula beroperasi pada awal Ogos 2017, ia menerima reaksi balas yang sangat memberangsangkan. Walaupun ia kelihatan baharu, namun “Rumah Kutai” ini sebenarnya telah dibina 2 tahun lebih awal sebelum ia dijadikan sebagai premis restoran. Kesemua bahan (papan) yang digunakan berasal daripada rumah lama di Bota, salah sebuah kampung tradisional melayu di Perak; kebiasaanya reka bentuk ini dibina khas buat kediaman Ketua Kampung sahaja.

Sebaik sahaja kami menjejakkan kaki ke dalam restoran, kami terpegun akan keunikan seni bina Rumah Kutai ini. Ia merupakan tempat yang sangat sesuai untuk mengimbau kembali ke masa silam. Kami menghabiskan masa hampir 15 minit untuk swafoto (selfie) bersama di setiap sudut yang ada di restoran ini, biasa lah tipikal millennials (sambil menunggu piranha yang lain untuk sampai, Ha Ha Ha). Jarum jam tepat menunjukkan jam 7.30 malam, setiap orang daripada kami mula meneliti menu. Encik Fiz memberitahu kami bahawa penyediaan makanan akan mengambil masa dalam 20 – 30 minit kerana semua makanan adalah segar dan mereka akan mula menyediakan makanan dari asas di dapur, “Ala Kampung”. Kami diberi jaminan bahawa mereka juga tidak menggunakan bahan sejuk beku (tiada frozen food okay?). Kami bergelut hampir 10 minit memikirkan apa yang ingin dipesan (walaupun kami dah bincang awal-awal), Akhirnya kami memilih untuk memesan Ikan Purba Kala Sayong, Asam Pedas Ikan Tenggiri Bunga Kantan, Udang Lemak Asam Payas, Sotong Goreng Madu Rimba dan Daging Salai Masak Lemak (Nyum Nyum). Tu sahaja kerana Papa kata bajet kami hanya RM300.00 (kedekut betui!). Dok sibuk berbual, kami dihidangkan dengan Cucur Udang Kak Ros sebagai pembuka selera. Anda pasti tidak akan kecewa dengan hidangan ini kerana cucurnya tidak berminyak, rangup dan udang didalamnya begitu segar. Sos masam manis yang dihidangkan bersama pasti akan menaikkan lagi selera dan membuatkan anda teriak untuk mahukannya lagi. Dalam hal ini, kami harus mengawal keinginan dan menunggu pesanan seterusnya dengan penuh sabar.

Cucur Udang Kak Ros

Cucur Udang Kak Ros (RM10)

Bintang utama untuk ulasan makanan M Makan Kaki kali ini tiba sebaik sahaja kami menghabiskan pencuci mulut. Ikan Purba Kala Sayong merupakan menu utama di antara hidangan yang dipesan. Jika diterjemahkan nama hidangan ini kepada Bahasa Inggeris, ia menjadi ‘Ancient Fish of Sayong’ tidakkah ianya berbunyi seperti Jurassic Park? Tidak seperti Ikan Siakap 3 rasa yang kebiasaannya manis, masam dan masin, kami diberitahu ikan siakap di sini disumbat dengan 27 bahan dan herba yang turut disertai dengan sos halia cili (paling best ikan siakap ini telah dibuang tulangnya, ikan purba memang ikan siakap!). Rasanya unik di mana kami tidak pernah mencubanya sebelum ini, ianya cair dengan serta merta setelah dimakan. Adakah ini syurga?

Seterusnya, Asam Pedas Ikan Tenggiri Bunga Kantan. Kepada penggemar Asam Pedas, kami sekeras-kerasnya menasihati anda untuk tidak memesan menu ini. Kami agak kecewa oleh kerana kuahnya hanya mempunyai rasa masam. Tiada kepedasan padu seperti yang anda jangkakan daripada perkataan ‘pedas’ pada nama hidangan ini, namun ikannya cukup masak. Walau bagaimanapun, masih ada ruang untuk perbaiki! Kami bersetuju Udang Lemak Asam Payas mempunyai kuah yang pekat dan berjus (udang harimau), udang tersebut seperti baru sahaja dikeluarkan daripada akuarium (seperti restoran berkelas tinggi). Aromanya sangat menyelerakan hingga membuatkan kami tidak sabar untuk mencubanya! Kami juga sukakan penggunaan santan di dalam hidangan ini.

Sotong Goreng Madu Rimba juga berbaloi untuk dicuba. Walaupun hidangan ini agak sedikit (untuk 2 ke 3 orang), tetapi rasanya tidak mengecewakan. Sotong ini diperap dengan tepung kacang dan digoreng sehingga garing. Yang pasti ia sesuai dijadikan menu tambahan untuk makan malam. Ya, setengah daripada kita mengambil berat akan makanan yang berminyak, tapi kami kali ni kami tak kisah oleh kerana hidangan ini sangat rangup dan ianya kurang berminyak! Part yang best ialah ia dibaluti dengan telur goreng umpama Laksa Sarang. Kepada penggemar sotong, anda perlu mencuba hidangan ini dan kami pasti anda inginkannya lagi.

Ayam Kicap Manis Halia Muda

Ayam Kicap Manis Halia Muda (RM 20)

Asam Pedas Ikan Tenggiri

Asam Pedas Ikan Tenggiri Bunga Kantan (RM 23)

Sotong Goreng Madu Rimba

Sotong Goreng Madu Rimba (RM 28)

IMG_2251

Ikan Purba Kala Sayong (RM 60)

Udang Lemak Asam Payas

Udang Lemak Asam Payas (RM 30)

Diumumkan ketibaan menu karya agung (bunyi drum). Kami bersetuju Daging Salai Masak Lemak merupakan pesaing yang terakhir. Dagingnya lembut, tidak terlalu liat dan sangat bersesuaian dengan gabungan kepekatan santannya (masih tidak boleh lupa pasal hidangan ini sampai sekarang…meleleh…). Warna kuahnya juga menyelerakan dan ia telah mengambil takhta Udang Masak Lemak Asam Payas sebagai pemenang. Kami mengesyorkan menu ini, anda wajib cuba! Sememangnya pemenang hidangan kelas berat!

Walau pun ada di antara kami tidak menggemari nenas, namun kami tidak melepaskan peluang untuk mencuba Pajeri Nenas Kampung oleh kerana hidangan-hidangan sebelumnya cukup lazat. Kuahnya begitu pekat dengan penggunaan santan yang dicampur bersama serbuk kari dan kami boleh katakan anda berdosa jika tidak mencuba hidangan ini (perumpamaan aje tau! Hahaha). Kepada sesiapa yang menggemari makanan pedas, anda boleh mempertimbangkan Kerabu Istimewa Dari Chef. Kami tidak dapat memberi ulasan mengenai hidangan ini oleh kerana tiada di antara kami yang mencubanya, lagi lagi bila nampak banyak cili api di dalamnya. Terdapat banyak cili berbanding bahan lain di dalam hidangan ini membuatkan kami asyik terbayang akan kepedasan yang akan dirasai di mulut…anda boleh mengelakkan diri daripada mencuba hidangan ini…seperti kami. (Kami menerima sindiran daripada Papa setelah kami balik oleh kerana dia menggemari makanan pedas).

Kejutan! Anda mungkin rasa hidangan ini semua adalah prima donnas! Tidak kami lupakan tentang nasi…sebenarnya kami ingatkan pesanan kami salah! Nasi tersebut benar-benar menyerupai nasi lemak! OMG! Ia sangat lembut dan kenyal. Aroma nasi ini memang tak dapat ditolak. Encik Fiz menyatakan chef mereka selalunya memasak nasi tersebut dengan menggunakan minyak kelapa untuk melazatkan lagi hidangan tersebut. Patut lah! Habis diet kami semua!

Pajeri Nenas Kampung

Pajeri Nenas Kampung (RM 20)

Daging Salai Masak Lemak

Daging Salai Masak Lemak (RM 22)

Kerabu Istimewa Dari Chef

Kerabu Istimewa Dari Chef (RM 20)

Cukuplah dengan hidangan utama, sekarang kita akan pergi kepada pencuci mulut (meleleh). Penuh dengan curiga, kami memilih untuk memesan Sira Pisang Berangan Buah Kabung dan Serawa Labu Bakar Kelapa Parut. Pencuci mulut yang pertama cukup pekat tetapi ia terlalu manis dengan sos karamel yang ada di dalamnya. Walau bagaimanapun, persembahan makanannya sangat menarik, bak kata orang insta-worthy gitu (Ha Ha Ha). Kami sangat menggalakkan anda untuk mencuba Serawa Labu Bakar Kelapa Parut, kerana ia kaya dengan santan dan kuah yang pekat. Tak ramai yang menggunakan labu sebagai pencuci mulut, tetapi hidangan ini sangat berbaloi untuk dicuba. Rasanya seakan-akan ubi keledek.

Sebelum terlupa, untuk minuman kami hanya memesan 3 jenis pilihan; Seri Selasih, Belimbing Buloh dan Kedondong Asam Boi. Seri Selasih boleh dikatakan sirap ros yang lain telah dinaik taraf (sirap ros yang dekat kenduri orang melayu tu). Menu ini dibuat daripada sirap ros dengan buah longan, turut digabungkan dengan biji selasih dan air soda. Kami sangat kecewa dengan Jus Belimbing Buloh. Kami dapat rasakan mereka menggunakan kordial belimbing dan bukannya menggunakan perahan buah asli. Di antara minuman yang telah dipesan, kami ingin mencadangkan air Kedondong Asam Boi yang mana rasa jus kedondong (sangat pekat, tak pasti berapa biji buah yang digunakan, tapi ianya sangat sedap!) itu menyegarkan apabila digabungkan bersama asam boi (rasa sebenar jus buahan), sesuai sebagai minuman penghilang dahaga.

Sira Pisang Berangan Buah Kabung

Serawa Labu Bakar Kelapa Parut

Kedondong Asam Boi, Seri Selasih & Belimbing Buloh

Untuk 9 orang kami, caj yang dikenakan untuk pesanan kami adalah sebanyak RM 307, yang mana agak mahal dengan kuantiti hidangannya yang sikit berbanding dengan apa yang kami bayar. Saiz setiap hidangan disini sesuai untuk 3 – 4 orang. Kepada yang ingin menikmati rasa sebenar masakan Melayu tradisional, maka Labu Sayong Signature adalah tempat yang kami cadangkan. Sekali lagi kami ingin mengingatkan anda bahawa restoran ini sesuai untuk anda yang berpasangan atau saiz kumpulan yang kecil; secara umumnya rasa makanan disini enak selari dengan suasananya yang menarik. Dan untuk rating? Kami beri 7/10 kerana saiz hidangan yang kecil dengan harganya dan jika anda pergi bersama kumpulan yang besar, memestinya anda perlu pesan lebih. Tapi siapa kami untuk mengadu, Papa yang harus dipersalahkan kerana bajet yang diperuntukkan untuk ulasan kami………

Alamat

5, Jalan Meru Bestari A14, 31200 Ipoh.

H/P No: +605 237 5237

Set makan tengah hari: 11.30am-2.30pm

Minum petang: 2.30pm-6pm

Makan malam: 6pm-10pm.

NOTA : Kami tidak makan secara percuma, ataupun kami dibayar(ditaja) untuk food review ini. Semua kos makanan ditanggung oleh kami sendiri dan bukan daripada mana-mana tajaan. Food review ini adalah ringkasan umum dari maklum balas yang diberikan daripada semua ahli keluarga M Boutique yang mengambil bahagian.

Hi, saya peminat tegar anime One Piece ! Saya merupakan pejuang keyboard di M Boutique Family. Sering bertengkar dengan ketua editor kerana kesalahan tatabahasa. Itu perkara biasalah lah kome.
Close

M Boutique Family of Hotels | Official Group Website

Hotel & Kediaman yang Unik di Malaysia

M Boutique Family of Hotels | Official Group Website

Hotel & Kediaman yang Unik di Malaysia



Language