Miker Pizza

Ada sesuatu yang anda perlu tahu tentang kombinasi adunan doh rangup, keju cair, daging dan sayur-sayuran di dalam pizza yang menjadikannya begitu mudah untuk dicintai dan dinikmati oleh orang ramai. Siapa yang dapat menolak keenakkan kepingan dari syurga yang mampu memberikan anda rasa sensasi dalam setiap gigitan? Hanya pizza yang dapat memberikan anda pengalaman baru ini! Terdapat pelbagai restoran di Ipoh yang menyajikan pizza-pizza yang menarik, tetapi restoran yang benar-benar menambat hati kami dengan menyediakan pelbagai pilihan pizza berkerak nipis adalah Miker Pizza. Dengan menggabungkan resipi tempatan bersama resipi Itali, sudah tentu pizza di sini telah mendapat satu sentuhan yang baharu. Hal ini menjadikan M Makan Kaki sangat teruja untuk mencuba pizza di sini. Sebelum kita mula, kami ingin kongsikan serba sedikit kisah tentang Miker Pizza… Segalanya bermula dengan kecenderungan En. Shakir (pemilik restoran) terhadap pizza. Walaupun tidak mempunyai latar belakang dalam seni kulinari tetapi beliau mempunyai semangat yang sangat mendalam untuk mencuba sesuatu yang baru.

Dengan hanya berpandukan video pembuatan pizza melalui internet terutamanya di Youtube dan Instagram, En. Shakir amat teruja dengan eksperimen pizza beliau dan akhirnya beliau berjaya menghasilkan resipinya sendiri. Beroperasi hampir setahun dalam menjual homemade pizza dari rumah yang dinamakan Chik Pizza pada April 2015, akhirnya mereka mengembangkan perniagaan dengan membuka gerai pizza di dalam sebuah restoran yang terkenal di Padang Ipoh iaitu Miker Food. Setelah 4 tahun bertapak di situ, mereka pula mengambil langkah berani dengan membuka restoran mereka sendiri yang dinamakan Miker Pizza, tidak jauh dari Miker Food (Menapak pun boleh sampai). Menurut En. Shakir, dengan mengembangkan perniagaannya, mereka berharap agar dapat memenuhi permintaan pelanggannya pada bila-bila masa sahaja. Kini, Miker Pizza membuat lebih dari 150 pizza sehari. (BANYAK! Kan?).

Anda pasti tertanya di mana sebenarnya lokasi Miker Pizza ni kan? Senang je. Cuba anda cari mural pakcik tua sedang memegang secawan kopi di Padang Ipoh, confirm anda akan jumpa restoran ni. Hiasan dalaman restoran ini sangat menarik, suasananya begitu nyaman dan tenang. Lukisan dan doodle di dinding putih restoran ini membuatkan saya sangat teruja! Tambahan pula saya memang peminat doodle! Saya yakin anda akan menggemari suasana di sini, lebih-lebih lagi dengan beberapa spot yang sesuai untuk insta stories. Untuk pengetahuan anda, 9 orang dari ahli keluarga kami menyertai untuk food review kali ini. Memang banyaklah songeh semasa memesan hidangan, yang sangat menjengkelkan apabila mereka secara tiba-tiba menukar fikiran (taknaklah milo kaw, nak air tu lah.. eh, tak jadilah, tukar balik la.. sigh). Mujurlah pekerja di situ melayan kerenah kami dengan penuh sabar. Apa yang paling penting, kami nak ingatkan anda semua bahawa Miker Pizza ini adalah sebuah restoran layan diri (Anda tahu apa perlu dibuat kan? Bangkit dan buat semuanya sendiri!). Berkonsepkan dapur terbuka, restoran ini juga memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat sendiri bagaimana pizza itu diperbuat dari awal hingga akhir, semuanya melibatkan tentang kesegaran, aroma dan kemahiran mengadun. Doh pizza mereka diregang menggunakan tangan dan pada masa yang sama mengetengahkan gaya pizza klasik New York yang rangup dan berkerak nipis. Bak kata En. Shakir walaupun doh pizza tersebut tidak sempurna bulatnya, namun yang penting adalah rasanya (Jangan nilai luaran sahaja okay?).

Setelah menelaah menu, kami sebulat suara bersetuju untuk memesan tujuh jenis pizza. Walaupun sebenarnya, saya mahu mencuba kesemua jenis pizza (Semuanya ada 9 jenis). Tetapi ada di antara kami yang cerewet tak mahu untuk mencuba Vegan Pizza dan Spicy Tuna Pizza, jadi tak adalah ulasan untuk dua jenis pizza ini. Semasa menunggu, ramai di antara kami yang mengeluh sakit-sakit belakang, tetapi bila pizza sampai je… habis semua sakit-sakit hilang! (Drama betul mereka ni). Beberapa cubaan untuk menyambar pizza yang dihidang di depan mata terpaksa saya halang supaya ia tidak merosakkan gambar-gambar untuk ulasan kali ini (Haha.. kalaulah anda dapat tengok wajah mereka, seperti ayam berak kapur). Cukup masak dengan wajah mereka yang menginginkan kami untuk berhenti mengambil gambar, akhirnya tiba masa untuk kami mengotorkan tangan kami dengan keju dan sos!

Kami semua begitu teruja untuk mencuba pizza yang mempunyai ikan bilis, cili burung, dan bunga kantan di atasnya. Ia diberi nama Ultimate Kampung! Walaupun kami agak ragu untuk mencuba pada awalnya, tetapi apa yang pasti…… ianya sangat sedap! Siapa yang sangka gabungan resipi Asia ini dapat memberi rasa yang sangat menakjubkan ke atas hidangan klasik Itali ini? Cuba anda bayangkan rasa Asam Pedas atau Sambal tumis, itulah cara yang terbaik untuk menggambarkan bagaimana sebenarnya rasa pizza yang luar biasa ini (Bedasarkan pendapat peribadi kami la). Jika anda adalah peminat tegar keju, anda wajib cuba Crazee Cheese! Ia adalah pizza biasa yang penuh dengan keju! Nak tahu keju apa yang digunakan? Kami diberitahu bahawa mereka menggunakan keju mozarella yang diimport khas dari Australia. Pizza ini begitu memukau kerana menghasilkan tali keju yang panjang apabila kepingannya ditarik, ditambah pula dengan warnanya yang bersinar seperti jongkong emas. Rasanya? Sangat lembut dan berkrim pada gigitan yang pertama… inilah yang dipanggil pizza idaman. Kepada pencinta daging di luar sana, Crazee Meat tercipta khas buat anda. Crazee Meat merupakan campuran sosej daging, daging salami dan bebola daging yang ditabur di atasnya. Percayalah, anda pasti akan menikmati kekenyalan daging tersebut. Selain dari itu, pizza daging yang perlu anda cuba ialah Beef Pepperoni. Anda tidak akan rugi kerana kuantiti kepingan daging, sos tomato dan keju mozzarella yang dihidangkan begitu banyak dan memuaskan. Seterusnya, jika anda ingin menikmati rasa tropika, kami sarankan agar anda mencuba Hawaiian BBQ. Kehadiran potongan nenas tin yang digabungkan bersama irisan ayam, bawang dan sos BBQ, menjadikan anda seolah-olah berada di tepi pantai sambil menikmati minuman pina colada. Untuk menghangatkan lagi ulasan kali ini, kami bersepakat untuk menjalankan satu eksperimen dengan menambah cili Jalapeno di dalam pizza Chicken Supreme untuk menambah rasa pedasnya (Orang Malaysia, tak sah la kalau tak pedas). Tetapi, nasib tidak menyebelahi kami dan eksperimen kami gagal… kami sangka ia akan menambahkan lagi rasa pedas ke atas pizza tersebut. Adalah lebih baik jika ia dimakan bersama sos Tobasco atau serbuk cili kasar untuk menikmati rasa pedas yang sebenar. Walau bagaimanapun, cebisan ayam, sosej, cendawan dan juga sos di atas pizza ini menaikkan kembali rasa pizza ini. Selain daripada komen yang baik-baik belaka, ada juga beberapa perihal yang kurang memuaskan pada kami. Pengkritik hebat kami tidak menggemari Meat Ball Pizza kerana kepingan bebola dagingnya yang besar dan juga kering. Malangnya! Saya mengharapkan ulasan yang sempurna untuk kali ini, tapi tiada apa yang sempurna di dalam dunia ini.

Ultimate Kampung, RM15.00 (Pizza Sederhana)

Crazee Cheese, RM15.00 (Pizza Sederhana)

Crazeee Meeaat, RM16.00 (Pizza Sederhana)

Beef Pepperoni, RM15.00 (Pizza Sederhana)

Hawaiian BBQ, RM15.00 (Pizza Sederhana)

Chicken Supreme, RM15.00 (Pizza Sederhana)

Nafsu makan kami yang menggila membuatkan kesemua pizza ini dihabiskan dalam sekelip mata. Cuba teka berapa banyak kepingan pizza yang di makan oleh M Makan Kaki’s? Sekurang-kurangnya 5 keping pizza seorang… memang gila! Kenyang pizza, kami menghilangkan dahaga dengan minuman berkarbonat, kalau tak minum, pasti kami tercekik. Jangan pula anda membayangkan minuman seperti teh atau kopi, susu mahupun jus buah segar kerana ia tidak disediakan di sini. Kami juga memesan dua set Sup Cendawan (Mushroom Soup) dan Roti Bawang Putih (Garlic Bread). Hidangan ini terlalu enak sehinggakan tiada perkataan yang keluar dari mulut kami. Saya cuba memujuk En. Shakir untuk memberitahu saya tentang resipi ini, tetapi beliau menolak untuk berkongsi dengan kami dengan menyatakan “ianya resipi rahsia” (Mujurlah ini bukan Bikini Bottom, kalau tak kami dah jadi Plankton). Hujung roti yang rangup bersama mentega yang disapu seluruh roti menjadikan ianya begitu lazat. Saya sangat mengesyorkan hidangan ini (Anda takkan menyesal punya!). Manakala sup cendawannya cukup berkrim dan tidak terlalu pekat. Namun, ia bukanlah 100% buatan sendiri kerana rasanya seperti sup cendawan segera. Apa lagi yang anda mahukan kalau bukan kek sebagai pencuci mulut? Sepotong kek pasti tidak akan merosakkan diet anda, bukan? Kami memesan Kinda Burnt Cheesecake dan Burnt Nutella Cheesecake. Kinda Burnt Cheesecake dipenuhi dengan keju dan mempunyai rasa yang sangat menggoda. Anda tak perlu risau, ia tidak membuatkan anda cepat berasa muak. Di samping itu, Burnt Nutella Cheesecake pula agak lembab dan mempunyai rasa coklat dan tidak terlalu manis.

Minuman, RM3.00-RM5.00 (setiap minuman)

Mushroom Soup + Garlic Bread, RM8.00 (setiap set)

Kinda Burnt Cheseecake, RM12.00 (sepotong)

Nutella Burnt Cheesecake, RM13.00 (sepotong)

Keseluruhannya, kami membelanjakan sebanyak RM182.00 untuk kesembilan orang kami dan hidangan di sini sangat memuaskan. Harganya agak berbaloi dengan 7 jenis pizza, hidangan sampingan, pencuci mulut dan juga minuman. Dengan mengeluarkan sebanyak RM15.00 untuk satu pizza sederhana, tidaklah memberi impak yang besar kepada duit poket anda, kan? Untuk rating? Kami beri 8/10 oleh kerana Meat Ball Pizza sedikit mengecewakan.

Address

1, Jalan Tun Sambanthan, 30000 Ipoh, Negeri Perak.
Phone no : 012-500 1635 / 011-1030 0033
Open from : 12.00 PM – 12.00 AM

NOTA : Kami tidak makan secara percuma, ataupun kami dibayar(ditaja) untuk food review ini. Semua kos makanan ditanggung oleh kami sendiri dan bukan daripada mana-mana tajaan. Food review ini adalah ringkasan umum dari maklum balas yang diberikan daripada semua ahli keluarga M Boutique yang mengambil bahagian.

Hi, saya peminat tegar anime One Piece ! Saya merupakan pejuang keyboard di M Boutique Family. Sering bertengkar dengan ketua editor kerana kesalahan tatabahasa. Itu perkara biasalah lah kome.
Close

M Boutique Family of Hotels | Official Group Website

Hotel & Kediaman yang Unik di Malaysia

Close

Sign in

Close

Cart (0)

Luggage is empty No products in your luggage.

M Boutique Family of Hotels | Official Group Website

Hotel & Kediaman yang Unik di Malaysia


Language