Platform 9 ½ front door

Kafe Platform 9 ½

Berita baik untuk semua peminat Harry Potter di luar sana! Kini anda boleh melompat kegirangan! Akhirnya Ipoh mempunyai kafe yang bertemakan dunia Harry Potter! Kafe magis terbaru yang diberi nama Platform 9 ½ ini, membuatkan M Makan Kaki tidak sabar untuk menikmati pengalaman baru, seolah-olah berada di dunia ahli sihir. Platform 9 ½ ini sememangnya tidak tersembunyi daripada orang biasa (Atau mereka gelar muggles) seperti di dalam dunia Harry Potter, apabila gambar dan video kafe ini telah tular di internet baru-baru ini. Kami cukup beruntung kerana ianya terletak tidak jauh dari M Roof Hotel and Residences. Jadi, kami mengambil peluang ini untuk kesana bagi meneruskan penjelajahan kami.

Sediakan Penyapu Sihir Anda!

Sudah hampir waktu makan tengah hari, tiba masanya untuk kami bertiga menaiki Penyapu Ahli Sihir (Broomstick) untuk ke Platform 9 ½………. Namanya agak biasa kedengaran bukan? Ya, ianya hampir sama dengan Platform 9 ¾ di dalam Harry Potter. Landasan kereta api lagenda di mana karakter Harry dan rakannya meluru ke dinding yang membawa mereja ke stesen kereta api ke Hogwarts. Korang tahu pasal ni kan? Jadi, mari kita teruskan penerbangan……. Malang tak berbau, ketika dalam perjalanan ke sana, penyapu ajaib kami mengalami sedikit kerosakan. Oleh itu, kami terpaksa membuat hentian di Medan Selera Datuk Sagoh. Sebenarnya kami bertiga sedang lapar. Hahaha. Kami mengambil keputusan untuk berhenti seketika bagi menikmati juadah tengah hari, Nasi Ayam yang terkenal di Ipoh iaitu Nasi Ayam Fauziah. Pada masa yang sama, saya terfikir tentang rakan lain yang masih berada di hotel. Adakah mereka sudah makan atau belum, kami rasa bersalah……..(shhhhh! Biarkan rahsia ini di antara kita sahaja!).

Kemeriahan di Concubine Lane

Selepas kekenyangan, kami meneruskan perjalanan ke Concubine Lane. Di sinilah terletaknya Platform 9 ½ . Kami meletakkan penyapu ahli sihir kami ketepi oleh kerana lorong ini dipenuhi dengan ramai orang. Baru sahaja beberapa langkah, salah seorang daripada kami ternampak Roti Bakar Cheese Berwarna-warni Kuma. Disebabkan rakan yang lain masih belum nampak batang hidung, kami berhenti seketika di Kuma.

Sebaik sahaja kami masuk ke dalam kedai Kuma, kami terus menuju ke tingkat atas untuk mencari tempat duduk berpenghawa dingin. Sedang ralit kami berbual, saya menerima panggilan daripada rakan yang lain menyatakan bahawa mereka telah sampai di Platform 9 ½. Oh tidak! Kami yang sampai dahulu, tetapi sibuk dengan benda lain (mereka pasti akan marah!).

Kami meneruskan perjalanan setelah menikmati roti Kuma yang menyelerakan. Aduhai, begitu mudah untuk hilang fokus ketika berjalan di lorong Concubine ini. Baru beberapa langkah berjalan di atas jalan batu (cobbled street), kami dipengengaruhi pula oleh gula-gula kapas yang berwarna warni. Kali ini kami terpaksa berhenti kerana terpegun dengan cara penyediaannya. Jenuh melawan keinginan untuk membeli tongkat ajaib yang gebu ini. Mantera aunty ini ternyata lebih kuat, akhirnya saya membeli juga gula-gula kapas berbentuk bunga. Mungkin ini merupakan takdir yang telah tertulis.

Keajaiban Platform 9 ½

Cukup dengan segala gangguan, sekali lagi kami menempuh kesesakan hujung minggu di lorong Concubine. Tiada lagi gangguan yang mampu menghalang kami untuk sampai ke Platform 9 ½! Dari jauh, saya melihat orang ramai berpusu-pusu ke kafe ini. Rasa panik mula menguasai diri, saya asyik tertanya “adakah ini tempatnya?”. Sebaik sahaja saya menoleh ke kanan, saya lihat ramai pengunjung sedang sibuk mengambil gambar dengan memakai kostum dan prop dunia sihir Harry Potter……betul ke ni? Ya, saya betul! Ini lah Platform 9 ½!

Merentasi pintu besar berwarna hitam, kami memasuki dunia magis Platform 9 ½….kami sangat terpegun dengan rekaan kafe ini. Sungguh mengasyikkan, luaran bangunan ini seperti Diagon ALLEY-ESQUE! Ia menyerupai bangunan Diagon Alley di dalam filem Harry Potter yang merupakan pusat perdagangan bagi ahli sihir. Ia mengingatkan semula saya kepada adegan Harry Potter and The Philosopher’s Stone, di mana Hagrid menemani Harry membeli barang untuk permulaan persekolahannya di Hogwarts.

Ke Platform 9 ½ Kami Mendarat

Begitu ramai pengunjung meluang masa mereka disini (biasalah kafe baru kan?). Ada yang begitu leka mengambil gambar di merata sudut, ada yang beratur untuk membeli air dan bermacam pe’el lagi. Apa yang pasti bangunanya mengekalkan beberapa unsur seni bina bangunan lama di Ipoh.

Ia merupakan bangunan dua tingkat, tetapi cuma tingkat bawah sahaja yang berpenghawa dingin. Dengan itu, kafe ini begitu sesuai untuk dijadikan sebagai tempat melepak selepas penat berjalan dibawah panas terik. Lebih-lebih lagi apabila berjalan di sepanjang lorong Concubine, pasti anda akan berasa penat dan haus. Kaunter mereka yang bertemakan kereta api menjadikannya begitu indah dengan landasan yang berwarna hijau. Selain itu, terdapat juga prop Harry Potter yang diletakkan di dalam almari di bawah tangga. Jadi, anda berpeluang untuk melaram sebagai seorang ahli sihir. Anda peminat bagi rumah Gryffindor, Hufflepuff, Ravenclaw atau Slytherin? Selain daripada itu, troli yang diletakkan di tengah-tengah tangga mungkin akan menjadi tempat kegemaran baharu anda untuk posting di Instagram.

Sedang asyik melihat suasana di sekeliling kafe, sedar tak sedar kami telah sampai di kaunter pesanan. Akan tetapi, hanya kami berempat sahaja yang sampai ke sini hidup-hidup (macamlah pergi berperang). Mana rakan yang lain pergi? Kami tak tahu…..Barista mencadangkan kami untuk mencuba Signature drink mereka iaitu ‘The Butterbrew Float’, manakala bagi yang lain kami memesan secara rawak. Ha, tulah, hilang tah kemana lagi. Beberapa minit kemudian barulah kami tahu, mereka mencari tempat duduk rupanya.

Suasana nyaman di Platform 9 ½

Kami menaiki tangga untuk ke tingkat 2, kelihatan sebuah lampu chandelier yang sungguh besar menerangi keseluruhan kawasan tersebut. Terdapat juga sebuah jam yang besar di dinding bangunan. Walau bagaimanapun, rakan kami tidak henti berceloteh mengenai kerusi putih (kerusi majlis kahwin tu) yang merosakkan aesthetic rekaan dalaman kafe. Di tingkat 2, ia mempunyai tingkap besar dan kipas siling yang memberikan suasana udara terbuka kepada pelanggan. Dekorasi yang lain juga pasti akan menarik minat anda. Saya paling menggemari bantal dengan tipografi ‘Just an Ipoh Girl Livin In The Muggle World, Took The Hogwarts Train Going Anywhere’ yang diletakkan di atas kerusi dan juga siluet ahli sihir yang terdapat di dinding kafe.

Hilangkan Rasa Haus

Okay, kita tutup cerita tentang dekorasi kafe ini, mari kita pergi terus ke ulasan makanan (atau ulasan minuman?). Kami telah memesan 8 minuman iaitu Butterbew Float, Iced Hazelnut Chocolate, Iced Butterscotch Chocolate, Iced Caramel Chocolate, Iced Chocolate, Iced Cappuccino, Coconut Coffee Frappe, and Cookie Cream Chip.

Platform 9 ½ Ikonik Butterbeer

Untuk pengetahuan anda, Butterbeer merupakan minuman ikon dan menjadi minuman wajib di dalam dunia sihir Harry Potter. Butterbeer Platform 9 ½ ini merupakan imitasi kepada Butterbrew Float tersebut. Pada pandangan saya, ia mempunyai rasa seperti air Rootbeer. Kalau anda nak tahu, air Sarsi yang digunakan di dalam minuman ini, distorkan di dalam tong kayu (bekas ala ala penyimpanan arak tu). Kerangupan serpihan kecil karamel di dalamnya pasti akan meninggalkan rasa lemak di dalam mulut. Yum!

Rasa Penuh Coklat

Air kegemaran salah seorang rakan kami, tidak lain dan tidak bukan ialah Hazelnut Chocolate. Mujur air ini ada di dalam menu, tanpa berfikir panjang saya memesan air ini untuk dia. Berbeza pula kali ini, dia seolah tidak menikmati air tersebut. Bagi dia rasanya tidak dapat menandingi kelazatan Hazelnut Chocolate di Tealive. Seterusnya, saya akan mengulas tentang Iced Caramel Chocolate. Dipendekkan cerita, rakan kami menyatakan bahawa rasa airnya hanya seperti campuran serbuk koko segera. Air coklat yang sama turut digunakan bagi Butterscotch Chocolate. Yang membezakannya hanya rasa manis daripada tambahan butterscotch. Apa yang pasti, rasanya sama seperti air coklat di luar sana. Tak banyak yang dapat di ulas tentang minuman ini…… kami sedikit kecewa.

Pencinta Kafein

Pencinta kafein kami tak boleh hidup tanpa Iced Cappuccino. Dia menyatakan kopi ini tidak dapat menandingi kopi di Starbucks (macam dah boleh jangka je). Nampaknya dia pun kecewa…..adakah kuasa magis Platform 9 ½ telah hilang?

Frappy Frappe

Tiba masa untuk air yang paling mengecewakan. Rasa air yang paling pelik merupakan air Coconut Coffee Frappe. Yucks! Setiap seorang daripada kami telah mencuba dan tiada seorang pun dapat menerima rasanya. Rasanya ada yang tak kena dengan kombinasi kelapa dan kopi. Oleh itu, saya menyarankan kepada anda untuk tidak mencuba air ini. Kami semua memberi kata sepakat untuk memberi air ini A BIG NO. Kami turut mencuba Cookie Cream Chip. Ia merupakan campuran di antara vanilla dan biskut cip coklat yang dikisar bersama. Paling best, ia dihiasi dengan krim putar dan koko crunch.

Selamat Tinggal Platform 9 ½

Dunia ahli sihir Harry Potter tidak lagi sukar untuk kita kesana. Terdapat banyak prop dan tempat fotogenik yang boleh dijadikan sebagai tempat bergambar lebih-lebih lagi untuk feeds di Instagram anda. Untuk menyimpulkan ulasan kali ini, jumlah keseluruhan yang dibelanjakan oleh ketujuh-tujuh kami ialah RM83.50. Rating? Kami memberikan 5/10, di mana saya menyukai keseluruhan rekabentuk dan dekorasi kafenya. Namun, untuk minuman, pihak Platform 9 ½ perlu meletakkan lebih lagi kesungguhan untuk mencapai kesempurnaan….untuk beberapa teguk air, lebih-lebih lagi dengan kualiti airnya yang cuma diparas sederhana, keindahan tempat tersebut semakin menghilang……

Close

M Boutique Family of Hotels | Official Group Website

Hotel & Kediaman yang Unik di Malaysia

M Boutique Family of Hotels | Official Group Website

Hotel & Kediaman yang Unik di Malaysia


Language