fbpx

Restoran De Mouth Cuisine

Untuk food review seterusnya, M Makan Kaki’s sebulat suara menjadikan sebuah restoran yang menggabungkan masakan Melayu, Cina dan India di bawah satu bumbung sebagai destinasi kami kali ini. Ayuh, sertai kami menerjah Restoran De Mouth Cusine! Pasti anda masih belum pernah menjejakkan kaki ke sini, bukan? Bersempena dengan bulan kemerdekaan bagi negara kita yang tercinta……….Malaysia, kami tertarik untuk mencuba menu promosi Hari Kemerdekaan. Ia mengetengahkan pelbagai jenis hidangan daripada pelbagai kaum utama di Malaysia. Restoran ini bertempat di Pusat Perdagangan Greentown Ipoh, terletak di antara AG Legal Tax Sevices dan 2AM Bistro & Kafe. Bertentangan dengan restoran ini, terletaknya kawasan parkir yang agak luas, jadi jangan khuatir! Tidak seperti di Ipoh Soho, jika kita imbas kembali ulasan “Bubble Tea” pada siri yang lepas, betapa sukarnya kami untuk mendapatkan parkir (berkali-kali pusing, naik pening kepala!). Restoran De Mouth menawarkan kepelbagaian menu yang bukan hanya terdiri daripada masakan cina, namun terdapat juga menu masakan melayu, nusantara dan lain-lain. Yang pastinya anda boleh menikmati kesemua menu ini tanpa ragu-ragu, kerana restoran ini mempunyai sijil halal dari JAKIM! Tambahan lagi, logo Halal turut terpampang di pintu masuk restoran. Tak percaya? Boleh rujuk gambar di bawah (siap bagi bukti!). Apa lagi yang nak dirisaukan, jom ramai-ramai ke De Mouth Cuisine! (perut pun dah berkeroncong…mari kita serbu restoran ni).

Halal Certificate of De Mouth

Sewaktu kami tiba di restoran, pekerjanya sedang sibuk menyediakan peranggu meja (jangan main-main, pemilik restoran ini turut turun padang tau!). Sementara menunggu persiapan meja, kami diberikan secawan teh cina panas (boleh nampak wap, sampai takut nak minum…hahaha drama). Bagi sesiapa yang menggemari teh tanpa gula, teh ini sangat sesuai untuk anda. Secara amnya, hidangan Cina mempunyai meja bulat yang kebiasaannya menampung 8, 10 hingga 12 orang. Pihak restoran menyediakan meja makan untuk 10 orang kepada kami (memang ngam, tepat 10 orang join makan kali ini). Side plate diletakkan di setiap satu kedudukan tetamu bersama kain yang terletak diatasnya. Set sudu dan garfu pula diletakkan di bahagian kanan pinggan bersama tisu. Mangkuk sup dan piring sos pula diletakkan di bahagian atas pinggan. Susunan peralatan ini merupakan prosedur asas dalam penyediaan Chinese Set. Saat yang paling mengujakan apabila staf di sini membawa keluar makanan yang telah siap dimasak untuk dihidangkan. Kesemua hidangan diletakkan di atas lazy susan yang berada di tengah meja. Ini membantu tetamu untuk mengambil makanan tanpa perlu berdiri. Meja kami penuh dengan pelbagai hidangan yang disusun dengan begitu gah sekali! Ini memang betul-betul buat kami teruja (wow ~ sampai terbeliak mata kami). Anda boleh lihat setiap menu disusun dengan kemas antara satu sama lain. Kesemua hidangan ini disusun di atas daun pisang (macam Nasi Daun Pisang kan?). Antara menu yang menarik perhatian kami ialah Butter Fish Fillet in Western Style dan Siew Mai Dim Sum. Kalau nak tahu apa yang menarik dengan dua menu ini, keep on reading guys!

De Mouth Tea
De Mouth Peranggu Meja

Hampir sejam menunggu, (air muka geng kuat makan ini daripada ceria, berubah menjadi sendu…) akhirnya….kami dipelawa ke meja makan. Terpegun kami dengan apa yang ada di depan mata! Memang sangat menarik! Sebelum kita menjamah makanan, seperti biasa, tangkap gambar dulu! Saya sanggup mengambil gambar sambil berdiri di atas kerusi untuk mendapatkan sudut yang menampakkan keseluruhan hidangan. Pemilik De Mouth Cuisine, Puan Debbie menyatakan set yang dihidangkan kepada kami ini merupakan set baharu yang belum lagi dijual kepada pengunjung lain (ekslusif bukan?). Dengan itu, mereka ingin mendapatkan pandangan untuk menamakan set hidangan yang boleh menggambarkan gabungan  masyarakat di Malaysia. Beliau turut menyatakan set tersebut dihasilkan bersesuaian dengan sambutan kemerdekaan negara pada bulan ini. Pelbagai nama telah dicadangkan oleh kami seperti “serumpun”, “nusantara”, “gemilang” dan macam-macam lagi. Akhirnya, hasil perbincangan bersama Puan Debbie, mereka mencapai kata sepakat untuk menamakan set hidangan tersebut sebagai “Kacuk-Kacukan Set”. Lebih catchy dan tak terlalu serius, bak kata staf nya. Antara menu yang ada di dalam set ini ialah  Nasi Ulam, Butter Fish Fillet in Western Style, Braised Crab Meat with Shredded Chicken and Egg Whites Soup, Boneless Chicken in Thai Style, Dim Sum Dumpling, Indonesian Prawn with Roti Canai dan Gua Musang Durian Snowball.

Nasi ulam menjadi menu pertama yang disambar oleh helang-helang yang kelaparan…Kami mengambil satu hidangan nasi terus ke pinggan masing-masing. Set ini menghidangkan Nasi Ulam yang disusun satu per satu dengan hiasan limau nipis di atasnya. Pelbagai bahan digunakan dalam penyediaan menu ini seperti ikan rebus, bunga kantan, serai, budu, cili merah, ikan bilis yang telah dikisar dan semestinya kena ada ulam-ulaman. Bukan Nasi Ulam lah, kalau tiada ulam! Ulam-ulaman yang digunakan adalah segar dan dipilih sendiri daripada peniaga ulam di pasar. Antara ulam yang digunakan adalah seperti daun kaduk, daun pegaga dan lain-lain. Nasi Ulam mempunyai persamaan seperti Nasi Kerabu. Kelainan menu ini ialah penggunaan ulam-ulaman di dalamnya sahaja. Yang mengejutkan, walaupun ia mempunyai kepelbagaian rasa daripada bahan-bahan yang telah dicampurkan, nasi ini sesuai di makan dengan hidangan lain.

Tidak lengkap nasi tanpa lauknya. Puan Debbie menyatakan Nasi Ulam ini perlu dimakan bersama Boneless Chicken in Thai Style. Ayam bahagian thigh yang dibuang tulang, digoreng menggunakan tepung sehingga rangup keemasan. Ia dihidangkan secara potongan kecil dan dihiasi dengan lobak merah dan kol merah yang dicincang halus. Hidangan ini disertakan bersama sos thai yang menjadi sos pencicah. Sos Thai ini tidak terlalu pedas dan manis. Menu ini juga sedap dinikmati tanpa sos dan memang cukup rangup!).

Nasi Ulam (RM7.00)

Boneless Chicken in Thai Style (bermula RM16.00 dan ke atas)

Set ini turut digabungkan dengan makanan seafood iaitu Indonesian Prawn. Hidangan ini disajikan di dalam claypot dan diletakkan di atas portable gas stove. Ia dimasak  menggunakan bahan-bahan seperti udang kering, daun kari, santan, cili dan lain-lain. Udang yang ada di dalam hidangan ini kuantitinya banyak, segar dan saiznya besar (bagi sesiapa yang tak makan udang, korang memang rugi). Menurut Puan Debbie, Indonesian Prawn ini perlu dimakan bersama Roti Canai. Ia merupakan sesuatu yang baharu kepada kami kerana kebiasaannya Roti Canai dimakan bersama kuah kari ataupun dal. Bayangkan Roti Canai dimakan bersama kuah udang!? Pelik, tapi benar…dan rasanya pasti mengejutkan anda! Satu kombinasi rasa yang sungguh unik dan menyelerakan. Walau bagaimanapun, ada di antara kami yang menjadikan Indonesian Prawn ini sebagai kuah kepada Nasi Ulam. Menurutnya, kuah tersebut lebih sesuai dimakan bersama nasi berbanding Roti Canai (citarasa orang lain-lain, kan?). Kuah hidangan ini cukup pekat dan berlemak. Kepada penggemar udang, hidangan ini pasti akan menaikkan selera anda.

Seterusnya kita ke Roti Canai pula. Memang tak dapat dinafikan, Roti Canai tidak asing lagi sebagai salah satu hidangan kegemaran masyarakat di Malaysia. De Mouth menggunakan mentega yang berkualiti dalam penyediaan Roti Canai. Rasa mentega tersebut memang dapat dirasai. Roti canai ini dipotong kepada kepingan yang lebih kecil dan dihidangkan bersama Indonesian Prawn. Teksturnya kenyal, padat dan sedap walaupun di makan begitu sahaja (dah macam iklan Gardenia pula…).

Indonesian Prawn (RM48.00)

Roti Canai (RM1.50 / 1 keping)

Kita sudah sampai ke hidangan dengan perhiasan yang mencuri tumpuan kami! Hidangan yang dimaksudkan tidak lain tidak bukan, Butter Fish Fillet in Western Style. Nak tahu apa yang menarik dengan hidangan ini? Pertama, persembahannya. Ia dihidangkan di dalam pinggan besar yang berwarna putih bersama jaring rotan. Beberapa gelas disusun secara bertingkat dan hidangan ini diletakkan di atas gelas tersebut. Anda boleh rujuk gambar dibawah untuk gambaran yang lebih jelas. Yang pasti ianya cukup teguh dan tak jatuh, memang terbaik! Kedua, rasanya yang rangup dan sedap. Cukup untuk menggambarkan rasa masakan ini. Ikan Talapia digoreng menggunakan tepung dan mentega sehingga warna keperangan. Kesegaran dan kerangupan isi ikan dapat dirasai. Ia dihidangkan secara potongan kecil dan disusun rapi. Jaring rotan berbentuk seperti bakul diletakkan di belakangnya sebagai hiasan. Jika anda tidak menggemari ikan talapia, jangan risau kerana anda boleh memilih jenis ikan yang lain untuk masakan ini. Pilihan di tangan anda!

Siew Mai Dim Sum juga dihidangkan di dalam set Kacuk-Kacukan ini. Ianya diletakkan di dalam piring kecil dan disusun di atas gelas. Hiasan ini sangat menarik kerana dihiasi dengan lampu yang berwarna-warni. Okay, sekarang saya yang terlebih excited! Dengan hiasan yang cukup memukau, semestinya kita jangka rasanya juga sedap bukan? Dim sum ini turut mempunyai warna yang menarik iaitu berwarna ungu. Dim Sum ini diperbuat daripada isi ayam dan rumpai laut yang telah dicincang. Memang tak dapat dinafikan, ia memang sedap! Pasti ia tidak menghampakan dan semestinya bukan indah khabar daripada rupa.

Butter Fish Fillet in Western Style (RM60.00 / bergantung pada jenis ikan)

Siew Mai Dim Sum (RM 7.50 / 4 biji)

Sekarang anda boleh tarik nafas panjang-panjang kerana menu seterusnya ini mempunyai nama yang panjang iaitu Braised Crab Meat with Shredded Chicken and Egg Whites Soup. Haaa punyalah panjang nama menu ni kan? Nak sebut pun sampai terbelit lidah (Hahaha). Sup ini dihidangkan di dalam mangkuk putih yang berpenutup. Sewaktu saya membuka penutupnya, saya begitu teruja apabila melihat sup yang ada di dalamnya. Dalam fikiran saya, “sup ini ada shark fin?!” Ini kerana, menurut Puan Debbie ia turut dikenali sebagai Braised Crab Meat Shark’s Fin Soup. Walau bagaimanapun, pemilik restoran ini menyatakan bahawa mereka tidak menggunakan sirip ikan yu dalam pembuatan sup ini. Sup ini hanya menggunakan artificial sirip ikan yu (yang bukan asli punya okay…). Sahabat saya yang lain juga menyatakan perkara yang sama. Jadi, teruskan menyokong “Save the Sharks Campaign!“. Secara keseluruhannya, tekstur supnya cukup likat dan dipenuhi dengan isi ketam dan ayam bersama telur yang telah disebatikan (tanpa disedari, sup yang dihirup habis dalam sekelip mata…).

Kini tiba pula kepada pencuci mulut yang merupakan hidangan terakhir di dalam set ini. Bagi sesiapa yang memang menggemari durian, menu ini sememangnya untuk anda! Untuk pengetahuan semua, durian yang digunakan bukan durian timbang dengan berharga sekilo RM 10 hahaha (bukan biasa-biasa…). Kalau nak tahu, mereka menggunakan durian MUSANG KING! (Oh yeah!). Kulit dan isinya diperbuat daripada buah durian. Kulit snowball ini sangat kenyal umpama kuih jepun mochi. Jika anda pernah mencuba mochi, anda pasti dapat membayangkan kekenyalan snowball ini. Kulitnya diperbuat dengan menggunakan tepung yang dicampurkan bersama isi durian. Isi di dalamnya pula menggunakan aiskrim durian organik. Lapisan dalam Durian Snowball ini cukup padat dan tebal. Ia sememangnya memberikan kejutan kepada saya, kerana pada mulanya saya beranggapan ia mempunyai rasa seperti Durian Crepe. Namun, tekaan saya salah kerana ianya jauh lebih sedap!

Braised Crab Meat Shark's Fin Soup De Mouth

Braised Crab Meat with Shredded Chicken and Egg Whites Soup (RM25 / 1 Sup)

Gua Musang King Snowball De Mouth

Gua Musang King Durian Snowball (RM38 / 10 keping)

Set Kacuk-Kacukan ini terdiri daripada 8 jenis menu yang memberikan gabungan rasa yang sangat unik dan menggambarkan keharmonian masakan masyarakat utama di Malaysia. Gabungan yang diterapkan di dalam set ini, bagi rasa masakan melayu ialah Nasi Ulam dan Indonesia Prawn. Manakala bagi masakan cina, Braised Crab Meat with Shredded Chicken and Egg Whites Soup, Butter Fish Fillet in Western Style serta Siew Mai Dim Sum. Seterusnya, bagi rasa masakan kaum India pula ialah Roti Canai. Selain daripada menikmati hidangan secara set, anda juga boleh mendapatkan hidangan ala carte. Terdapat banyak lagi menu-menu hidangan lain yang anda boleh cuba selain daripada menu yang ada di dalam set Kacuk-Kacukan ini.

Set ini disajikan mengikut bilangan di antara 5 hingga 10 orang. Bagi pengunjung yang ingin merasai set ini, harga bagi set untuk 5 orang adalah RM398, manakala set untuk 10 orang pula berharga RM588. Harga yang dikenakan kepada kami kali ini ialah RM588 (set untuk 10 orang). Ya! Ulasan makan kali ini agak over-the-budget! Habis lah kami kalau Papa tahu bila balik ni! Mau ternganga dia bila dapat tahu kami berbelanja sebanyak tu dan yang pasti akan membebel….Tapi apa boleh buat, nasi sudah menjadi bubur…(terlajak perahu boleh diundur, terlajak makan…fikir sendiri hahahaha). Secara keseluruhannya, makanan di sini memberikan satu rasa lain daripada yang lain. Kepada anda yang ingin merasai gabungan masakan melayu, cina dan india seperti Kacuk-Kacukan Set, restoran inilah tempatnya. Oh ya sebelum terlupa, tak lengkap food review kita tanpa rating. Keseluruhannya, untuk Restoran  De Mouth Cuisine, kami beri 7/10!

p/s : Selain menawarkan juadah makanan di restoran, De Mouth turut menawarkan servis-servis lain seperti katering, buffet, set bento, lunch box, take away dan lain-lain. Servis De Mouth ini digunakan di majlis-majlis seperti perkahwinan, makan malam, taklimat dan lain-lain. Perhatian! Untuk menikmati juadah di Restoran De Mouth pada waktu yang anda ingini, anda dinasihatkan untuk membuat tempahan sekurang-kurangnya 3 jam lebih awal. Dengan itu, anda tak perlu menunggu lama seperti kami…..(takpa, we learn from mistakes!). Sebelum M Makan Kaki’s mengundurkan diri, akhir kata…kami ingin mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan ke-62 kepada negara yang kita sanjungi…Malaysia! Tanggal 31, bulan 8…57! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!.

Address

7, Persiaran Greentown 8 Greentown Business Center, Pusat Perdagangan Greentown, 30450 Ipoh, Perak

Dibuka dari jam 11.00 pagi – 10.00 malam.

NOTA : Kami tidak makan secara percuma, ataupun kami dibayar(ditaja) untuk food review ini. Semua kos makanan ditanggung oleh kami sendiri dan bukan daripada mana-mana tajaan. Food review ini adalah ringkasan umum dari maklum balas yang diberikan daripada semua ahli keluarga M Boutique yang mengambil bahagian.

Hi, saya peminat tegar anime One Piece ! Saya merupakan pejuang keyboard di M Boutique Family. Sering bertengkar dengan ketua editor kerana kesalahan tatabahasa. Itu perkara biasalah lah kome.
Close

M Boutique Family of Hotels | Official Group Website

Hotel & Kediaman yang Unik di Malaysia

M Boutique Family of Hotels | Official Group Website

Hotel & Kediaman yang Unik di Malaysia



Language