Kafe Thumbs

Kalau lah saya boleh hilangkan sesetengah kafe di Ipoh ini semudah memetik jari, sudah pasti saya tidak perlu bertekak dengan yang lain untuk memilih lokasi food review yang seterusnya. Malangnya ini bukan “Avengers: End Game”. Food review M Makan Kaki’s takkan sesekali menemui jalan buntu.Tertanya-tanya di mana anda boleh menikmati hidangan barat (western) dan hidangan tempatan di bawah satu bumbung? Kali ini, jom kita ke Kafe Thumbs!

Rekaan dalaman yang antik dan kontemporari! Itulah perkara pertama yang terlintas di minda sebaik sahaja saya menjejakkan kaki ke dalam premis ini. Sudut bar kafe yang menempatkan bangku tinggi dan bantal berwarna-warni mengimbau kembali kepada suasana seni rekaan dalaman pada masa dahulu.

Sebelum Kafe Thumbs dibina, asalnya premis ini merupakan satu bangunan warisan yang menjadi sebuah asrama bagi menempatkan anak-anak yatim dibawah jagaan Badan Khidmat Islam Perak (BAKIP). Perubahan daripada sebuah asrama anak-anak yatim menjadi sebuah kafe amat mengagumkan. Sekarang ia telah menjadi salah satu kafe vintaj yang sangat terkenal di Ipoh. Kami mengambil masa selama 5 minit untuk memilih meja makan. Selalunya orang masuk, nampak meja kosong dan terus duduk. Tapi kami tidak! Susah sangat nak buat pilihan kerana setiap meja yang ada di dalam premis ini rekaannya unik belaka (sebenarnya mereka nak kan lighting yang sesuai, biasa lah perempuan tak habis-habis dengan selfie). Kafe ini dapat menjadikan mimpi setiap Instagrammers di luar sana menjadi kenyataan!

Tunku-Abdul-Rahman
Thumbs-Interior
Bartop-Vintage

Rekaan Dalaman di Thumbs Cafe

Jangan risau! Kafe ini menawarkan pelbagai masakan barat dan tempatan pada harga yang sangat berpatutan (walaupun menunya hanya satu muka surat). Terbeliak mata kami apabila melihat pilihan makanan yang ada, rasa macam nak order semua! Ah tidak! Kami tidak akan membiarkan nafsu menguasai diri! Kami mengingatkan antara satu sama lain agar memesan makanan yang perlu sahaja (sebenarnya Papa tak naikkan lagi bajet food review…pelokek betui!). Cukup dengan adegan “nak makan apa ni”, kami akhirnya sepakat untuk memesan Spaghetti Bolognaise ayam, Lamb Chop, Chicken Chop, Nasi Hentian Rasa, Fish n Chip, Bebola Daging dengan Sos Perang dan Cantonese Yee Mee. Oh ya! Tidak dilupakan hidangan ‘signature’ disini, iaitu Kanji. Untuk minuman, kami memesan Chocolate Peanut Butter, Lemon Jelly, Amra Asam, Apple Susu, Ribena Selasih Longan, dan Sirap Bandung. Banyakkan? Saya tahu! (harap-harap masih dalam budget, kaching kaching). Kafe ini dapat menampung jumlah pelanggan yang tinggi dalam satu masa. Kami menyedari bahawa kafe ini mula dipenuhi pelanggan bermula dari jam 8.00 malam ke atas. Tetapi itu perkara biasa. Ini kerana kebanyakkan masyarakat Melayu akan makan malam selepas waktu Maghrib. Jika anda ingin mengelak dari orang ramai, kami nasihatkan agar anda datang lebih awal. Tetapi jangan terlalu awal kerana kafe ini akan mula beroperasi pada jam 6.00 petang. Tolong pertimbangkan kafe ini terlebih dahulu jika anda mencari kafe yang berpenghawa dingin. Tentu ada yang tak nak berpeluh, lagi-lagi orang perempuan kan? Haha. Tetapi apa yang dapat saya jamin, aliran angin di dalam kafe ini adalah angin segar dari tingkap-tingkap yang terbuka dan kipas dinding.

Menu Thumbs Cafe

Spaghetti Bolognaise Ayam (RM10.80)

Bebola Daging (RM14.80/10 pieces)

Lamb Chop (RM16.80)

Fish n Chips (RM12.80)

Cantonese Yee Mee (RM12.00)

Nasi Goreng Hentian Rasa (RM6.50)

Penantian itu satu penyeksaan buat kami semua. Mana taknya, daripada tengah hari tak makan apa-apa. Ha, padanlah muka kami! Mujurlah penyediaan makanan di sini tidak mengambil masa yang lama. Selalunya apabila keluar makan beramai-ramai ni, sudah pasti ada yang memesan Spaghetti, betul tak? Siapa sangka hidangan yang ringkas dapat menjadikan kami bungkam pada keenakannya. Kebiasaannya apabila kita menjamah Spaghetti Bolognaise, ramai di antara kita yang akan cepat merasa muak akan sosnya. Tetapi tidak dengan spaghetti yang ada di sini, gabungan sayur brokoli dan sosej ayam menjadikan rasanya seimbang. Kali ini pasti anda tidak akan membazir lagi! Sekarang kita beralih kepada Lamb Chop. ‘Peminat kambing tegar’ kami amat kecewa kerana dagingnya yang tidak cukup masak dan agak liat. Walaupun hampa dengan tekstur daging kambing itu, pujian perlu diberikan kepada saiz hidangan dan sos lada hitamnya. Ini kerana rasa sosnya begitu memikat dan saiz hidangannya cukup untuk membuatkan anda kenyang. Kami juga tidak melepaskan peluang untuk mencuba Chicken Chop. Tidak banyak yang dapat kami perkatakan tentang hidangan ini, cuma sosnya adalah sos yang sama digunakan untuk Lamb Chop. Berat sebenarnya hati ini untuk bercakap jujur tentang Bebola Daging dengan Sos Perang. Bebola daging ini sangat menghampakan di mana teksturnya mudah hancur dan dagingnya berbau. Hal ini membuat kami rasa hilang selera untuk makan.

Kali ni giliran Cantonese Yee Mee pula. Menu ini dihidangkan dengan mee rangup bersama kuah di mana telur dipecahkan dan digaul sebati, campuran pelbagai jenis sayur dan dihiasi udang segar di atasnya. Yee mee ini juga dihidangkan dengan cili hijau yang sememangnya menjadi pelengkap kepada hidangan berkuah bagi menepati selera masyarakat Malaysia. Oh ya! Dek perasaan ingin tahu, abang kami yang kami gelar “Gege – dalam Cantonese” seorang sahaja yang mencuba hidangan berasaskan nasi. Dia begitu tertarik dengan nama hidangan yang diberi; Nasi Goreng Hentian Rasa. Walau bagaimanapun, tiada apa yang istimewa tentang hidangan ini, kerana rasanya sama seperti nasi goreng biasa cuma ianya lebih pedas. Cara pemasaran yang sangat berkesan! Untuk hidangan kanji yang menjadi ‘signature’ di Kafe Thumbs ini, ia mengingatkan saya kepada rasa masakan ibu dan secara tidak lansung mengimbaukan kembali kepada zaman kanak-kanak. Jujur saya katakan di sini, masakan ibu saya tidaklah berapa sedap! Hahaha…(kalau dia baca posting ni, dia mesti tercari-cari siapa yang mengata pasal masakan dia).

Ribena Selasih Longan (RM4.50),  Apple Susu (RM4.50),  Lemon Jelly (RM2.90),  Amra Asam (RM4.50)  and  Sirap Bandung (RM3.20).

Untuk minuman, kami mencadangkan anda untuk mencuba minuman jus asli seperti Amra Asam Boi, Apple Susu, dan Lemon Jelly. Saya jamin anda semua tidak akan menyesal. Air Ribena Selasih Longan (gabungan Ribena, buah longan dan buji selasih) pula akan membuatkan anda berasa segar. Seterusnya, Chocolate Peanut Butter pula mempunyai rasa seakan-akan segelas milo ais yang ditambah Nutella di dalamnya. Kami masih tak dapat lupakan bagaimana kecewa rakan kami ‘SONY Boy’ yang berleter sambil ‘menikmati’ airnya itu. Katanya protein shake nya lebih sedap berbanding dengan air Chocolate Peanut Butter ini (hahaha saya tak pernah cuba protein shake ni, jadi tak pasti rasanya macam mana). Secara keseluruhannya, makanan di kafe ini memuaskan dan jumlah keseluruhan bagi pesanan kami ialah RM154.20 bagi 8 orang. Harganya agak berbaloi. Untuk penarafan, kami memberi 5/10 untuk hidangan di Kafe Thumbs ini. Kalau ikutkan saya nak kurangkan lagi satu mata oleh kerana servis mereka yang kurang memuaskan. Ini kerana, pihak kafe tidak membalas Whatsapp kami (kene ‘bluetick’ je, sedihnyaa). Diharapkan pihak Thumbs Café akan lebih berwaspada untuk membalas Whatsapp pelanggan di masa hadapan demi menjaga kepuasan mereka.

Address

133, Jalan Sultan Abdul Jalil, 30000 Ipoh, Perak.

No. Telefon : +6019-776 0618

Dibuka dari 6.00pm – 1.00am 

Tutup pada hari Selasa

NOTA : Kami tidak makan secara percuma, ataupun kami dibayar(ditaja) untuk food review ini. Semua kos makanan ditanggung oleh kami sendiri dan bukan daripada mana-mana tajaan. Food review ini adalah ringkasan umum dari maklum balas yang diberikan daripada semua ahli keluarga M Boutique yang mengambil bahagian.

Hi, saya peminat tegar anime One Piece ! Saya merupakan pejuang keyboard di M Boutique Family. Sering bertengkar dengan ketua editor kerana kesalahan tatabahasa. Itu perkara biasalah lah kome.
Close

M Boutique Family of Hotels | Official Group Website

Hotel & Kediaman yang Unik di Malaysia

Close

Sign in

Close

Cart (0)

Luggage is empty No products in your luggage.

M Boutique Family of Hotels | Official Group Website

Hotel & Kediaman yang Unik di Malaysia


Language