fbpx

M Makan Kaki meneruskan penjelajahan kami di satu tempat yang kerap bermain di fikiran iaitu Wharong Kafe. Mengimbau kembali, kali pertama menikmati hidangan Daging Bakar Harimau Menangis yang sangat meyelerakan menjadi asbab saya kembali ke sini.

Setibanya di sana, kami dilayan oleh seorang krew yang tak lekang dengan senyuman (cukup manis). Setelah mengambil pesanan kami, dia memberitahu bahawa kami perlu membuat lain-lain pesanan di vendor-vendor yang ada di situ. Disebabkan terlalu lapar, kami memesan Shell Out (Wharong), Daging Harimau Menangis dan Udang Galah Bakar Royal Jinggo daripada vendor Rose Pulut Ayam, Sizzling Yee Mee (Sizzling & Claypot SS), Set Nasi Kawin daripada The Penyet Koner, dan Grill Chicken Burger serta Grill Chicken Chop daripada Yaya’s Kitchen.

Sementara menunggu pesanan tiba, kami membuat keputusan untuk menemu bual Chef Shahidan (Chef di Wharong Cafe). Beliau menyapa kami dengan senyuman dan berkongsi serba sedikit sejarah tentang Wharong Cafe.

Monokrom

Tahukah anda Wharong Kafe diasaskan oleh alumni Anderson? Patut lah ada mural harimau besar beserta moto sekolah di dinding (ni baru betul semangat Anderson!). Menurut Chef Shahidan, idea hiasan dalaman berasal daripada pemilik cafe itu sendiri, yang mana turut merupakan seorang kontraktor yang pakar dalam dekorasi dan mengecat.

Hiasan dalamannya dilengkapi dengan tona hitam dan kelabu. Siling tinggi memberikan keluasan dan lampu hiasan mencerahi keseluruhan kafe. Lantai kafe dipenuhi dengan rumput tiruan yang menerangkan suasana dinding yang kusam. Bukan itu sahaja, terdapat juga tulisan besar Wharong dan mural basikal di dinding kafe. Spot yang paling menarik di kafe ini adalah kawasan open-air dining di ruang belakang kafe. Jadi tak mustahillah, ruang ini sentiasa dipenuhi oleh pelanggan.

Daripada Bossku kepada Wharong Kafe

Untuk pengetahuan anda, sebelum ini Wharong Kafe dikenali sebagai Bossku Kafe. Namun, disebabkan beberapa percanggahan dalam konsep dan tema kafe, Bossku Kafe tidak dapat meneruskan perniagaannya. Oleh kerana itu, timbul lah idea untuk membuka kafe baharu yang diinspirasikan dengan konsep warung di Malaysia…sangat ketara kan? Tengok nama pun kita dah tahu. Secara amnya, warung merupakan perniagaan kecil yang dimiliki oleh keluarga atau individu yang menjual kepelbagaian
makanan dan minuman dengan harga yang murah. Dalam merealisasikan konsep ini, mereka menempatkan enam warung kecil iaitu Rose Pulut Ayam (makanan Thai), Ipoh’s favorite Laksa Sarang, The Penyet Koner, Sizzling & Claypot SS, warung satay dan Yaya Kitchen (makanan barat).

Shellout & Rasa Aroi Thai

Tiba masanya untuk ulasan makanan! Rakan kami begitu teliti akan lobak merah, jagung, dan sotong yang kurang masak di dalam hidangan shell outnya. Namun, dia tetap berpuas hati dengan harga dan kepekatan kuahnya. Manakala, Daging Bakar Harimau Menangis yang dihidangkan bersama nasi agak mengecewakan kerana ia dihidangkan dalam keadaan sejuk. Walau bagaimanapun, kerana rasanya dan jumlah daging yang banyak melembutkan hati kami semula. Hidangan Udang Galah Bakar Royal Jinggo begitu menarik dan enak. Walaupun begitu, rakan kami tetap merungut kerana saiz udangnya yang kecil dan tidak bersesuaian dengan harga. Apa apa pun, kami mencadangkan anda untuk mencubanya bersama sos Thai…Aroi Mak!

Nasi Kahwin & Sizzling

Penggemar udang kami teringin untuk mencuba Set Nasi Kahwin. 2 Nasi Penyet yang datang bersama Ayam dan Udang goreng. Nampaknya, dia betul betul menikmati hidangan ini. Licinnn… Kulit udang pun lesap (terlampau rangup sampai habis dimakan). Ayam gorengnya juga rangup dan enak dimakan bersama sos pedas. Manakala, Sizzling Yee Mee bersama telur agak mengecewakan kerana ia juga dihidangkan dalam keadaan sejuk. Disebabkan ianya telah sejuk dan jumlah sayurnya yang banyak, ini menjadikan kuahnya agak pahit.

Sedap Hingga Menjilat Jari

Grilled Chicken Burger sungguh menyelerakan! Tetapi, untuk Grilled Chicken Chop…..tiada apa yang begitu menarik untuk diperkatakan. Rasanya tipikal seperti Grilled Chicken di tempat lain, berkemungkinan mereka hanya menggunakan ayam, sayur dan kentang goreng yang sama seperti di dalam hidangan burger. Campuran buah amat sesuai untuk mereka yang gemarkan manis.

Lepak Kami Berakhir disini

Pengalaman di sini meninggalkan kesan yang mendalam kepada kami dan berkemungkinan kami akan kembali ke sini semula. Paling penting, ia tidak memakan belanja yang banyak. Kami hanya membayar sebanyak RM140.40. Kesimpulannya, kami memberikan 6/10 kepada Wharong Cafe. Kafe ini cantik dan mejadi tempat yang menyajikan kepelbagaian makanan yang dapat menepati citarasa anda.

Alamat
49, Jalan Tun Sambanthan, 30000 Ipoh, Negeri Perak
No. Telefon
011-11112384
Waktu Operasi
11:00 pagi – 11:00 malam

NOTA : Kami tidak makan secara percuma, ataupun kami dibayar(ditaja) untuk food review ini. Semua kos makanan ditanggung oleh kami sendiri dan bukan daripada mana-mana tajaan. Food review ini adalah ringkasan umum dari maklum balas yang diberikan daripada semua ahli keluarga M Boutique yang mengambil bahagian.

Rookie writer who stares into the space thinking about how bedazzled her life with boba and star wars...
Close

Language