NOTA : Kami tidak makan secara percuma, ataupun kami dibayar(ditaja) untuk food review ini. Semua kos makanan ditanggung oleh kami sendiri dan bukan daripada mana-mana tajaan. Food review ini adalah ringkasan umum dari maklum balas yang diberikan daripada semua ahli keluarga M Boutique yang mengambil bahagian.
Bulan Ramadan adalah bulan yang di nanti-nanti kan bagi seluruh umat Islam di dunia. Sudah tentu ada yang tertanya-tanya tentang keistimewaan bulan ini. Secara lazimnya ia terkenal dengan ‘pesta’ ibadah dan juga merupakan pesta makanan bagi seluruh negara. Bersempena dengan bulan yang mulia ini, M Makan Kaki’s sebulat suara bersetuju untuk menjadikan Bazaar Ramadan Stadium Ipoh sebagai destinasi food review kami kali ini. Ha! Bukan senang tau nak buat review bulan puasa ni, banyak dugaannya! Lapar, dahaga dan mata pun nak kena jaga. Bazaar ini adalah bazaar ramadan yang terbesar di Ipoh. Ianya mempunyai lebih dari 70 gerai yang mana terletak di ruang parkir Stadium Indera Mulia. Cuba bayangkan, banyak kan? Kalau pergi, confirm rambang mata! (Psstt. Kami menghabiskan masa 1 jam dalam bazaar ni tau). Tapi kena ingat, bulan puasa ni lah yang melatih diri kita untuk mengawal nasfu, jadi jangan membazir okay? Kami difahamkan para peniaga mula meletakkan meja dan barang persiapan untuk berniaga seawal jam 4.00 petang manakala para pengunjung akan mula memenuhi perkarangan bazaar sekitar jam 5.00 petang. Bagaimana saya tahu? Sebab saya boleh lihat bazaar ini dari ‘rooftop’ M Roof Hotel & Residences ! (Bau ayam percik pun boleh sampai atas, no joke!). Bukan sahaja juadah berbuka yang beraneka pilihan, ia juga kerana lokasinya yang strategik menjadikan bazaar ini pilihan utama kepada warga kota. Yang menariknya anda juga boleh membayar zakat dihadapan perkarangan bazaar. Maka tak mustahil kenapa suasana disini selalu meriah setiap kali menjelang bulan puasa. Pasti ada yang khuatir tentang parkir kan? Jangan risau, banyak ruangan parkir yang disediakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh untuk para pengunjung (lebih mudah jika menggunakan motor atau berjalan kaki dari M Roof Hotel & Residences). Terdapat pelbagai makanan dan minuman yang dijual di sini, baik makanan tradisional mahupun moden. Tetapi kami tidak berkesempatan untuk mencuba kesemuanya. Kalau nak tahu betapa meriahnya suasana bazaar ini, anda boleh lihat video kami di atas atau klik disini.